Sabtu, 31 Ogos 2013

Dilaknat 10 jenis manusia terbabit arak

Bekerja dan berusaha mencari sumber kehidupan mesti dilakukan dalam kerangka yang dibenarkan agama. Walaupun Islam mewajibkan umatnya bekerja dengan gigih dan berdedikasi, pencarian sumber kehidupan seharusnya selari dengan aturan dibenarkan syariat.

Islam bukan saja mengharamkan umatnya minum arak tetapi juga segala hal ehwal yang berhubung kait dengan penghasilan dan pemprosesan arak itu. Mungkin sesetengah beranggapan mereka hanya bekerja tetapi tidak terbabit dengan meminumnya. 

Ini salah dan bertentangan dengan ajaran Islam. Ibnu Mas’ud berkata, “Telah dilaknat dalam (urusan) khamar itu, seramai 10 orang, iaitu orang yang memerah, yang diminta diperahkan, yang meminumnya, yang memberi minuman, orang yang bertugas menghantar, yang membekal, yang menjual, yang membeli dan juga yang menyimpannya.” 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya saja kamu beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 88)

Ini kategori manusia yang dikira terbabit secara langsung dengan arak. Jadi, bekerja di premis pemprosesan arak termasuk dalam 10 jenis manusia yang mendapat laknat Allah seperti digariskan oleh Ibnu Mas’ud.

Sumber haram

Walau apapun tarikan berupa kebendaan dan upah lumayan, sebagai umat Islam kita ditegah sama sekali terbabit dengan industri pengeluaran arak kerana segala hasil pendapatannya juga akan termasuk dalam kategori sumber yang haram.

Sanggupkah kita makan dan memberi makan anak isteri dengan hasil sumber yang haram? Amat malang andainya ada umat Islam masih setia dan sayang dengan pekerjaan di industri haram seperti kilang memproses arak atau di premis penjualan arak. Senario sebegini sangat mengaibkan maruah agama. Dunia alam jagat ini terlalu luas dengan sumber rezeki yang dibentangkan Allah untuk setiap makhluknya. Yang dilarang sedikit saja sedangkan yang halal terlalu banyak. 
Haram itu jelas terkandung hikmahnya baik dari segi akidah mahupun ditinjau dari sudut sains perubatan ataupun dikaji dari sudut psikologi sosial.

Allah SWT mengarahkan kita makan daripada sumber rezeki yang halal dalam firman yang bermaksud: “Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya saja kamu beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 88) 

Kita mesti melihat makna perintah Allah SWT ini dalam skop yang luas dan seharusnya mencakupi ruang lingkup bekerja dengan industri arak sebagai sumber pendapatan berasaskan yang haram. 

Justeru, mukmin yang bertakwa akan mencuba sedaya upaya memastikan dirinya tidak terbabit dalam pekerjaan seperti itu.

Seandainya ada yang telah terbabit selama ini, sewajar bertaubat dan menggantikannya dengan usaha pekerjaan yang halal. Berterusan membiarkan diri bergelumang dalam industri haram itu bermakna membiarkan diri terus tenggelam dalam maksiat dan kerja haram.

Segera bertaubat

Hanya taubat memadamkan segala dosa. Mukmin yang benar-benar beriman tidak meletakkan dirinya ke dalam sesuatu yang haram dan ditegah Allah SWT. 
Jangan meremehkan larangan Allah dalam kehidupan beragama termasuk bersubahat dengan urus kerja yang berbentuk haram.

Kita sebagai mukmin sewajarnya mengambil pesanan Abdullah bin Mas’ud yang pernah mengatakan, “Orang mukmin itu menganggap dosanya seperti dia sedang duduk di bawah gunung, dan selalu takut kalau-kalau gunung itu jatuh menimpanya; sedangkan orang fujir (pendosa) menganggap dosanya seperti lalat yang menempel di hidungnya lalu (dengan mudah) dia dapat mengusir lalat itu dengan tangannya.”

Tiada ulasan: