Khamis, 1 Ogos 2013

KEMUNCAK ANUGERAH ALLAH

KEAJAIBAN bulan Ramadan memang istimewa. Tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain. Sehingga Ramadan diberi julukan sebagai sayyidul syuhur atau penghulu segala bulan. Tidak hairan dalam bulan suci itu terkandung pengertian makna yang mendalam dari segi spiritual mahupun sosial. Suatu makna yang menyatukan antara aspek lahiriah dan batiniah serta aspek duniawi dan ukhrawi.
Wajarlah jika Rasulullah SAW, para sahabat dan orang-orang soleh terdahulu sentiasa menjadikan Ramadan untuk meraih sebanyak-banyak keuntungan pahala dalam meningkatkan kualiti ibadah, apa lagi pada 10 malam terakhir Ramadan.
Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud: Rasulullah SAW sangat giat beribadah di bulan Ramadan melebihi ibadahnya di bulan yang lain, dan pada 10 malam terakhir Baginda lebih giat lagi melebihi hari lainnya. (riwayat Muslim).
Keajaiban-keajaiban yang terdapat pada 10 malam terakhir Ramadan telah banyak disebutkan dalam al-Quran dan as-sunnah. Di antaranya, terjadinya Lailatulqadar yang merupakan malam diturunkan al-Quran dan dicatatnya di Luh Mahfuz seluruh perkara yang akan terjadi di muka bumi pada tahun tersebut.
Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya agar memerhatikan malam Lailatulqadar pada 10 malam terakhir. Baginda bersabda bermaksud: Carilah Lailatulqadar pada tarikh ganjil 10 malam terakhir Ramadan. (riwayat Bukhari)
Orang-orang yang beribadah solat pada malam Lailatulqadar maka dosanya yang telah lalu akan diampunkan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Dan barang siapa yang berdiri (solat sunat) pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharap reda Allah maka Allah mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (riwayat Ibnu Abi Dunya dalam Fadhail Ramadan)
Segala kebaikan akan dilipatgandakan pahalanya. Apa lagi jika bertepatan dengan Lailatulqadar maka satu amalan kebaikan pahalanya lebih baik daripada amalan kebaikan yang dilakukan selama 1,000 bulan atau sekitar 83 tahun tiga bulan lebih kurang.
Allah SWT berfirman bermaksud: Malam kemuliaan (Lailatulqadar) itu lebih baik daripada 1000 bulan. (al-Qadar: 3).
Sayyid Thantawi dalam Al-Wasith menjelaskan, Lailatulqadar lebih utama daripada 1000 bulan kerana pada saat itu diturunkan al-Quran yang memberi petunjuk ke jalan yang lurus (betul) dan mengeluarkan manusia daripada kegelapan menuju cahaya dan kerana ibadah pada malam itu lebih banyak pahalanya dan lebih besar keutamaannya daripada ibadah berbulan-bulan tanpa Lailatulqadar.
Allah SWT tidak mentakdirkan selain keselamatan pada malam Lailatulqadar itu. Hal ini tidak terjadi pada malam-malam lainnya yang terdapat keselamatan dan bencana. Pada malam itu pula para malaikat menyampaikan ucapan selamat sejahtera kepada orang-orang beriman sampai terbitnya fajar.
Penjelasan tersebut disampaikan oleh an-Nasafi dalam Madarikut Tanzil wa Haqaiqut Ta'wil dan Az-Zamakhsyari dan dalam Al-Kasysyaf ketika kedua-duanya mentafsirkan ayat ke-5 daripada surah al-Qadar.
Hakikatnya, masih banyak lagi keajaiban-keajaiban lainnya yang menegaskan keutamaan dan kelebihan bulan Ramadan khususnya pada 10 malam terakhir. Semua itu untuk mengukuhkan keimanan seorang mukmin dan mendekatkan dirinya dengan Allah SWT. Sehingga Allah sangat menyintai dan menyayangi hamba-Nya yang Dia sediakan di bulan al-Mubarak itu satu malam untuk dijadikan kesempatan oleh hamba-hamba-Nya bagi bekalan hidup di dunia dan akhirat...


Tiada ulasan: