Sabtu, 31 Ogos 2013

'Menghidupkan' ciri umat terpilih

Terapkan amalan untuk tingkat mutu perkhidmatan

Umat Nabi Muhammad SAW adalah umat yang dipuji oleh Allah SWT sebagai umat terpilih iaitu ummatan wasata dan terbaik iaitu khaira ummah. 

Firman Allah SWT berkaitan sifat umat terpilih ini terkandung dalam firman yang bermaksud: “Dan demikianlah (seperti Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (mengenai yang benar dan salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami siapakah yang benar-benar mengikut rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang (yang beriman).” (Surah al-Nisa, ayat 143) 

Sabda Rasulullah SAW: “Jauhilah melampau (al-ghuluw) dalam agama, kerana telah binasa mereka sebelummu disebabkan melampaunya mereka di dalam agama.” (Riwayat Ibn Majah dan Al-Nasaie)

Kebanyakan ulama tafsir menjelaskan maksud ummatan wasata dengan dua ciri utama iaitu umat yang utama serta terpilih berbanding umat terdahulu iaitu daripada perkataan bahasa Arab al-wasat al-khiyar dan umat yang adil.

Menurut penjelasan dalam Tafsir al-Tabari, ia bermaksud umat yang tidak berlebih-lebihan seperti amalan kaum Nasrani dan kaum yang menidakkan seperti Yahudi yang menggantikan Kitab Allah dan membunuh nabi mereka, berbohong serta mengingkari ajaran dibawa. 

Sebaliknya, umat Muhammad adil dan tidak berlebihan dalam tindakan. Justeru, kiblat bagi umat Islam terletak antara dua kiblat kerana Yahudi menyembah tuhannya di sebelah barat dan Nasrani di timur.

Elak melampau 
Sabda Rasulullah SAW: “Jauhilah melampau (al-ghuluw) dalam agama, kerana telah binasa mereka sebelummu disebabkan melampaunya mereka di dalam agama.” (Riwayat Ibn Majah dan Al-Nasaie) 

Tafsiran yang sama turut diberi Imam Ibn al-Jauzi dalam Zadd al-Maisir min ‘lm al-Tafsir dan pandangan Ibn Kathir, Ibn Abbas, Abu Said al-Khudri, Mujahid, Qatadah serta Ibn Qutaibah. 

Sabda Rasulullah SAW, sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan, iaitu dalam bahasa Arab, al-awsat dan seburuk-buruknya ialah yang berlebihan (al-ghuluw) atau berkurangan (al-taqsir). 

Ini tidak bermakna sederhana yang sifat serta nilainya berada antara dua keadaan iaitu tidak cemerlang dan tidak lemah. Ia bermaksud sifat atau sesuatu yang tidak membawa kepada keburukan ekoran berlebih-lebihan atau berkurangan.

Justeru, umat Islam menjadi umat terbaik dan terpilih kerana sifat adil lagi berimbang. Sifat ini jika diterjemahkan dalam amalan pentadbiran perkhidmatan menjamin keberhasilan kerja yang terbaik serta impak tinggi kepada pekerja, majikan, pelanggan dan negara. 

Aplikasinya boleh dibuat dalam tiga proses utama iaitu pengarahan, pelaksanaan dan pembuatan keputusan. Dalam pengarahan, majikan terpilih lagi adil akan memastikan arahan diberi adalah betul serta boleh difahami pekerja dengan jelas.

Pengarahan dibuat sesuai dengan masa, mengikut bidang kuasa, mengambil kira kemampuan dan bidang kerja pekerja, disampaikan se-cara berhemah, dibuat secara adil dan bukannya diberi kepada orang yang sama dan pengarahan yang membuka ruang untuk perbincangan bagi memperoleh hasil terbaik.

Namun, kaedah ini ada kalanya kurang diendah majikan kerana tumpuan pengarahan selalunya kepada hasil yang diinginkan saja. Maknanya, ia bukan pengarahan berhemah.

Dalam pelaksanaan pula, ciri-ciri majikan – pekerja terpilih lagi adil perlu mesra pelanggan yang antara kayu ukurnya meliputi pelaksanaan yang bebas kerenah birokrasi, tanpa menjejaskan kesihatan, keselamatan, tanpa merugikan pendapatan dan kelewatan. 

Pelaksanaan juga berimbang antara kerja dan keluarga, pencapaian objektif organisasi, antara kemajuan dan akhlak.

Dalam pembuatan keputusan pula, majikan – pekerja terpilih lagi adil membudayakan musyawarah berpandukan peraturan dan undang-undang serta budi bicara yang telus tanpa penindasan, pilih kasih, prejudis, peminggiran atau memihak kepada kepentingan tertentu saja.

Kawal kepentingan diri

Memberi pertimbangan yang teliti, menitikberatkan sasaran masa, mengawal unsur ‘kepentingan diri’, hawa nafsu dan emosi daripada mempengaruhi tindakan, pemikiran dalam membuat keputusan, tidak tergesa-gesa, bertanggungjawab serta mengambil kira kemampuan komitmen sumber yang ada.

Ketiga-tiga proses yang adil dan berimbang ini akan menyumbang kepada keseronokan, ketenangan bekerja, memelihara amanah secara berakhlak dan menjamin pencapaian matlamat yang optimum. 

Berbanding usaha dan pencapaian sederhana atau ‘cukup makan’ dan ‘ala kadar’, bukan termasuk amalan umat adil lagi terpilih. Setiap proses tindakan adalah untuk memastikan keberhasilan atau output adil lagi berimbang tidak sia-sia. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang yang mengerjakan amalan terbaik.” (Surah al-Kahfi, ayat 30) ...

Tiada ulasan: