Ahad, 8 September 2013

Nilai kejujuran dalam diri pemimpin

Menantu kesayangan Rasulullah SAW, Saidina Ali Abi Talib pernah mengingatkan kita agar sentiasa mempunyai ciri peribadi dengan sifat jujur. Pesan beliau, kejujuran mempunyai pengertian besar dalam Islam. 

Sifat jujur adalah sebahagian daripada iman. Mereka yang hilang sifat jujur adalah orang yang tipis imannya. Ini kerana kejujuran dan iman berjalan beriringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang. 

Benteng hadapi godaan 


Mengapakah Islam begitu menitikberatkan aspek kejujuran dalam kehidupan seseorang hambanya? Tidak lain kerana sifat jujur menjadi benteng kukuh bagi menghadapi godaan pancaroba dunia dan hasutan syaitan. Dengan itu, terselamatlah diri daripada pelbagai kemungkaran. 

Manusia tanpa mengira kedudukan dan darjat sangat memerlukan sifat jujur untuk memandu diri melalui jalan yang diredai Allah SWT. Terlucutnya kejujuran dalam diri sudah tentu memudahkan syaitan dan bisikan hawa nafsu untuk mengelincirkan seseorang ke lembah yang bertentangan dengan amalan benar di sisi agama. 

Seorang pemimpin negara yang bersifat jujur pasti tidak mengizinkan dirinya terbabit dengan sebarang perbuatan menyalahi kehendak agama. Cuba bayangkan seandainya seseorang pemimpin itu seorang yang tidak jujur? 

Yang jelas ialah ia akan membawa seseorang pemimpin itu mudah melakukan penyelewengan seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, pengamalan kronisme dan pelbagai macam tabiat buruk lagi. Jadi, di sini ternyata bahawa tanpa sifat kejujuran, maka berlakulah pelbagai kemungkaran. 
Pemimpin yang jujur juga akan berusaha keras untuk memenuhi segala janji yang diluahkan. Ini kerana dia sedar dan insaf bahawa memungkiri janji itu lambang kepada sifat tidak jujur dalam berkata-kata dan ini akan memudaratkannya di akhirat kelak. 

Malah di dunia pun, Allah SWT sudah menimpakan mereka dengan pelbagai impak negatif seperti dibenci oleh masyarakat. Rasulullah SAW juga mengingatkan kita apabila Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya kejujuran itu membimbing kepada kebaikan dan kebaikan itu membimbing ke syurga. Ada orang yang sentiasa berlaku jujur, sehingga dia dicatat sebagai orang jujur di sisi Allah.” 

Sambung Baginda SAW lagi: “Sesungguhnya kedustaan membimbing kepada kejahatan dan kejahatan itu membimbing ke neraka. Ada orang yang sentiasa memilih kedustaan sehingga dia dicatat sebagai pendusta di sisi Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 

Pemimpin tidak kota janji pendusta 

Justeru, pemimpin yang hanya pandai berjanji tetapi tidak mengotakannya dikategorikan sebagai pendusta atau orang yang tidak ada sifat jujur dalam berkata-kata. Ini sifat yang sangat tercela dan kita seharus memperhatikan secara bersungguh-sungguh nilai jujur itu pada diri seorang pemimpin yang hendak kita pilih. 

Allah SWT jelas sekali memerintahkan hamba-Nya menunaikan janji yang telah dinyatakan. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tepatilah janji, sesungguhnya janji itu akan ditanya.” (Al-Isra’, ayat 34 ) 

Justeru, apa saja janji yang dilafazkan seandainya seseorang itu tidak tunaikan bermaksud mengundang diri ke dalam kelompok yang dimurkai Allah SWT dan apa yang pastinya akan ditanya tentang hal itu di akhirat kelak. Begitulah besarnya nilai jujur kepada kita dan betapa buruknya kesan yang bakal diterima di akhirat kelak. 

Rakyat atau masyarakat akan memandang tinggi dan menghormati seseorang pemimpinnya yang jujur. Inilah kriteria pemimpin yang dikasihi rakyat jelata. Lihatlah sendiri beberapa teladan yang ditunjukkan oleh sahabat Rasulullah SAW dalam aspek kejujuran ini. 

Sudah tentu kita begitu kagum dengan kehebatan mereka, tetapi kekaguman saja tidak membawa sebarang erti pun kepada kita, seandainya nilai peribadi mereka tidak diterapkan sama dalam kehidupan kita. 

Seseorang itu mungkin menjawat jawatan sebagai pekerja, maka nilai kejujuran itu akan membimbing dirinya untuk tekun bekerja dengan penuh bertanggungjawab. Pekerja yang culas, mengamalkan kerja bagai melepaskan batok di tangga sebenarnya lahir dari kurangnya sifat jujur dalam hati. 

Pekerja yang jujur dan ikhlas akan melaksanakan segala tugasan sebagai satu ibadah dan mengharapkan ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Ia akan menzahirkan tugas itu bukan sekadar ingin memenuhi hasrat untuk mendapat gaji atau upah, tetapi kerana kewajipannya untuk menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna...

Jumaat, 6 September 2013

Belai, kasihilah permata hati

Anak adalah penyejuk jiwa dan menjadi penyeri rumah tangga. Pasanganyang mempunyai anak sangat memahami hal ini dan bagi yang belum memperolehnya begitu terasa betapa sunyinya tanpa kehadiran mereka.
Namun, ada anak bermakna ada tanggungjawab. Memelihara, membesarkan, mendidik dan mentarbiahkan mereka mengikut landasan agama yang murni sudah semestinya menjadi kewajipan bagi si ibu dan ayah. 
Sekiranya berlaku kecuaian dalam melaksanakan tanggungjawab itu, tentulah akan mengundang kemurkaan Allah. Ini bermakna azab di akhirat yang menanti kita. Namun, kita minta dijauhkan daripadanya. 

Oleh itu, janganlah sesekali mengambil mudah terhadap tanggungjawab membesar, mendidik dan memelihara mereka.

Meskipun kita saling mengingatkan antara satu sama lain, berlaku juga kes penganiayaan terhadap mereka. Ada yang didera, dicedera dan dibunuh. Sungguh mendukacitakan apabila terbaca laporan di dada akhbar mengenainya.

Terfikir juga kita apa sudah jadi dengan sikap sesetengah ibu bapa yang langsung tidak ada perasaan belas kasihan terhadap anak sendiri. Tergamak anak yang belum mengerti didera demi kepuasan diri. 

Sesungguhnya, tindakan keterlaluan sedemikian rupa bukan hanya menggambarkan si ibu atau ayah terbabit tidak bertanggungjawab, bahkan langsung tandus daripada nilai perikemanusiaan. 

Orang yang tergamak bertindak seperti itu jelas sekali tidak mempunyai sikap sabar dan gagal mengawal diri. Boleh jadi, orang terbabit juga jenis yang panas baran, ego dan sukar ditegur. 

Sebenarnya, sudah menjadi kebiasaan dan tidaklah pelik sekiranya seorang anak itu ada sedikit sebanyak nakalnya. 

Kita sebagai ibu bapanya yang perlu bijak menangani kerenah mereka. Jika kita juga mengikut emosi dan panas baran, semua yang direncanakan tidak menjadi. 

Mana mungkin kita mengharapkan anak menjadi penyantun, sedangkan mereka dibesarkan dengan sumpah seranah dan sepak terajang? 

Jadi, insaflah bahawa kehadiran anak dengan pelbagai kerenah dan perangainya itu seharusnya kita hadapi dengan pengasuhan berhemah dan tertib. 

Ini kerana anak dibesarkan dalam acuan pengasuhan yang kasar akan memberikan kesan negatif terhadap perkembangan fizikal, emosi dan sahsiahnya kemudian nanti. 

Demikian juga mereka pernah didera pastinya sukar membentuk diri menjadi seorang insan yang stabil dari sudut emosi, kuat fizikal dan mantap sahsiah kerana jiwa mereka dihantui peristiwa lampau. 

Berhubung hal ini, suka saya berkongsi pesanan Ibnu Khaldun seperti terkandung dalam kitab agungnya, Muqaddimah: “Sesiapa mendidik anak dengan gaya bengis, kejam dan keras, maka anak akan diselimuti perasaan keterpaksaan dan hidup dalam tertekan. 

“Penerapan hukuman keras sering menghasilkan pelbagai kesan negatif yang akan memudaratkan pertumbuhan jiwa dan sahsiahnya.” 

Nabi SAW juga ada menegaskan: “Sesiapa yang tidak menyayangi anak kecil kami dan tidak mengenal hak ibu bapa kami, maka tidak termasuk golongan kami.” (Hadis riwayat Bukhari) 

Ini satu amaran kepada kita sebenarnya. Jadi, teroponglah diri kita sendiri apakah selama ini kita mengasihi mereka selayaknya. 

Seorang sahabat, Abu Hurairah RA berkata, bahawa pada suatu ketika Rasulullah SAW mencium Hasan bin Ali bin Abi Talib iaitu cucu baginda dan ketika itu al-Aqra bin Hubais bertandang ke rumah baginda. 

Melihat sikap baginda yang mencium cucunya itu, al-Aqra berkata: “Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak dan aku belum pernah mencium seorang pun daripada mereka.” 

Baginda memandang ke muka al-Aqra sebaik mendengar kata-kata itu, lalu bersabda: “Sesiapa tidak mengasihi, tidak dikasihi.” 

Dalam satu hadis riwayat Muslim seperti diriwayatkan Aisyah RA menceritakan: “Ada seorang wanita miskin datang kepadaku dan membawa dua orang anak perempuannya bersama, maka aku memberikannya makan dengan tiga biji kurma. 

“Wanita itu memberikan sebiji kurma kepada setiap anaknya dan ketika dia mengangkat sebiji kurma untuk memakannya, dua anaknya meminta lagi. Wanita itu membahagikan kurmanya itu kepada dua bahagian untuk dua anaknya. 

“Aku sangat kagum dengan apa yang berlaku dan aku menceritakan perkara berkenaan kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah (mafhumnya): “Allah telah mewajibkan baginya syurga atau membebaskannya daripada api neraka.” 

Kisah ini juga satu bukti bahawa pentingnya kita sebagai ibu bapa sentiasa menyuburkan jiwa dengan kasih sayang terhadap anak sendiri... 

Kewajipan insan menjaga lidah

Penciptaan manusia sebagai makhluk paling istimewa di sisi Allah serta pelantikan sebagai khalifah di dunia mempunyai tujuan yang sudah ditetapkan.
Antara lain adalah bagi menilai sejauh mana ketaatan manusia kepada Allah. Manusia mengakui sejak dari awal penciptaannya bahawa Allah sahajalah Tuhan yang layak disembah. Setiap perbuatan manusia akan dihitung serta diperlihatkan dengan seadil-adilnya. Firman-Nya yang bermaksud: “Sesiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya dan sesiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya (balasan).” (Surah az-Zalzalah, ayat 7 dan 8) Secara sedar atau tidak, tutur kata antara perlakuan yang sukar dikawal oleh manusia. Manusia dengan anugerah yang dikurniakan Allah berupaya untuk menuturkan apa sahaja bentuk kata-kata berdasarkan dorongan hati, nafsu dan akal mereka. Hakikatnya, dengan kata-kata, pelbagai perkara boleh terjadi serta mampu mengubah sesuatu keadaan sama ada kepada yang baik atau sebaliknya. Tanpa iman, kata-kata yang dikuasai oleh nafsu akan sentiasa membasahi lidah. Pendek kata, pelbagai masalah dan kejadian buruk boleh berlaku sekiranya kita gagal menggunakan tutur kata dengan cara terbaik.

Keadaan di mana umat Islam saling menghina sesama mereka, perselisihan faham antara agama, keruntuhan institusi kekeluargaan, keruntuhan moral remaja khususnya membabitkan masalah percintaan, semuanya berpunca daripada lidah yang gagal dikawal, seterusnya menghamburkan pelbagai bentuk perkataan tidak wajar pada tempatnya.
Sebagai manusia yang sentiasa sedar akan tujuan penciptaannya di dunia, kita haruslah sentiasa ingat bahawa setiap perkataan diucapkan tidak terlepas daripada catatan malaikat.

Hal ini bertujuan memberi peringatan kepada kita bahawa setiap perlakuan ada nilainya di sisi Allah dan akan diberi balasan selayaknya. Firman-Nya bermaksud: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaf, ayat 18) Penuturan kata-kata yang baik dapat memberi kesan yang amat mendalam dalam diri pendengarnya. Dalam bidang dakwah misalnya, dengan hanya menggunakan kata-kata yang baik dan benar, ramai akan terpikat dengan keindahan dan kebenaran Islam. Ini kerana agama Islam adalah agama fitrah yang ajarannya tidak bertentangan dengan naluri manusia. Hal ini amat jelas apabila Allah memerintah Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS untuk menemui Firaun sebagai satu cara menyerunya ke jalan Allah. Lalu diperintah kedua-duanya menuturkan kata-kata yang baik dan bukan dengan angkuh dan bermegah-megah. Firman-Nya bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut.” (Surah Thaha, ayat 43 dan 44) Begitulah pentingnya kata-kata yang baik dan benar dalam proses dakwah. Keadaan ini bukan saja akan mencerminkan peribadi pendakwah yang cemerlang dan beretika, malah lebih besar daripada itu ialah mencerminkan keindahan Islam sebagai agama bersifat toleransi dan mulia.

Selain itu, Allah menyatakan antara ciri hamba-Nya yang cemerlang iaitu mereka mendapat gelaran ibad ar-Rahman iaitu orang yang baik tutur katanya. Apabila dihina atau dicerca orang jahil, mereka tidak membalasnya kecuali dengan kata-kata yang baik. Inilah suatu keadaan mungkin bagi kita yang belum cukup sempurna tahap keimanan berasa sukar untuk mempraktikkannya. Tetapi bagi mereka yang betul-betul memiliki ciri keperibadian Muslim sejati, ia mudah untuk dilaksanakan. Firman-Nya bermaksud: “Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.” (Surah al-Furqan, ayat 63) Tidak dapat dinafikan, kadangkala meskipun tutur kata yang digunakan indah dan baik, barangkali ia tidak sesuai dilafazkan pada tempatnya, maka ia juga boleh membawa kepada konflik dalam hubungan sesama manusia. Dengan kata lain, bahasa yang digunakan haruslah bersesuaian dengan keadaan dan adat kelaziman pendengar. Hal ini perlu diberi perhatian, lebih-lebih lagi di negara kita yang memiliki pelbagai bahasa dan budaya. Menyedari hakikat ini, marilah sama-sama kita mengubah diri dengan sentiasa menjaga tutur kata agar ia tidak mengundang masalah kepada ummah. Perlu diingat, kata-kata baik bukanlah semata-mata susunan perkataan yang indah dan bersifat memuji semata-mata, tetapi yang lebih penting ia sesuatu yang bersifat benar dan jauh daripada segala bentuk omongan kosong ataupun muslihat jahat. Kebenaran adalah ciri utama dan berperanan penting dalam penuturan kata-kata yang indah. Kata-kata baik dan memiliki kebenaran juga menjamin kesan mendalam dalam diri mereka yang mendengar dan mengamatinya. Firman-Nya dalam surah al-Ahzab, ayat 70 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar”...

Tanpa disedari

Adab dan tatasusila sudah menjadi alaman seharian namun ada perilaku yang dilakukan menyimpang daripada adab sopan tanpa kita sedari. 
Zaman sekarang, remaja dan kanak-kanak berperangai tidak seperti orang zaman dulu. Jika dulu, adab dan tatasusila jadi ajaran orang tua hingga apa saja dilakukan perlu pentingkan adab yang sudah menjadi amalan seharian. Tak keterlaluan kalau dikatakan adab kini semakin dipinggirkan.
Tak kisahlah beradab dengan orang tua, orang sekeliling, sahabat mahupun ahli keluarga sendiri, kini menjaga tatasusila bukan lagi elemen penting yang ditekankan. Semakin ia dilupakan, semakin banyak perbuatan kurang beradab kita lakukan hingga ada yang tidak sedar perbuatan itu boleh menyinggung perasaan orang lain.

Jika direnungkan kembali, ada sebilangan perilaku kita seharian mampu mengguris perasaan orang lain. Tak kisahlah sama ada ia disengajakan atau tidak, seharusnya perkara seperti ini tidak patut berlaku terutamanya dalam kalangan rakyat Malaysia yang kaya dengan budi bahasa.

POTONG BARISAN

Mungkin mereka tidak sedar bahawa perilaku mereka boleh dianggap biadap dan ‘kurang ajar’. Sebagai contoh, ada individu yang pentingkan diri sendiri hingga sanggup memotong barisan ketika membuat pembayaran atau menyelit masuk ke lorong pembayaran ketika kesesakan lalu lintas.

Mungkin alasannya perlu cepat atas sebab tertentu tapi dalam situasi ini, apa juga alasan diberikan individu tidak bertanggungjawab ini memang tidak boleh diterima akal, kerana ia seolah-olah merampas hak orang lain selain membuatkan orang lain panas hati.


TAK BERI RESPON

Dalam berkomunikasi perlu ada hubungan dua hala. Tapi jika salah seorang lebih pentingkan telefon daripada kawannya, perbuatan itu boleh dikategorikan kurang diajar. Akan timbul rasa tak selesa dan tak puas hati jika berlaku kepada kita sendiri, justeru elakkan diri anda daripada tergolong dalam kelompok ini.


MAKAN TAK DIJEMPUT

Mungkin kedengaran remeh tapi dalam adab Melayu, kita diajar dengan penuh tata susila jika berkunjung ke rumah orang. Antara perkara yang ralat, mungkin ada kalanya kita selesa dengan ahli keluarga seseorang hingga mengenepikan adab bertandang. Sebagai contoh, makan tanpa dijemput tuan rumah nampak remeh tetapi ia akan beri pandangan negatif dan kurang sopan terutama di mata orang tua.


MEROKOK SESUKA HATI

Bagi individu yang tak merokok, asap rokok dianggap bahaya seolah-olah menghidu racun. Namun bagi perokok tegar, mereka tak kisah untuk menghisap rokok ketika berbual, tambah menjengkelkan apabila dengan ‘selamba’ dan tak bersalah menghembus asap ke muka rakannya.

Jika rakan itu seorang perokok mungkin tak banyak hal tapi jika sebaliknya, ternyata golongan ini boleh dikategorikan kelompok kurang diajar. Setidak-tidaknya hembus asap rokok ke tempat lain yang jauh dari corong hidung rakan anda.


Apa pun yang kita lakukan seharian, perlu difikirkan terlebih dulu. Yang penting, hormat pada orang yang berada di persekitaran kita. Namun asasnya, perkara pertama yang perlu tahu untuk hormat diri sendiri. Sekiranya kita tak menyukai sesuatu, orang lain punya perasaan yang sama. Berfikir sebelum bertindak!

Timba pengalaman daripada tamadun silam

Pembinaan ‘suffah’ pada zaman Rasulullah di Madinah melahirkan ahlus suffah yang diraikan dengan asas ilmu dan pendidikan. Membangunkan para abid sekali gus dengan jiwa ilmu membolehkan faktor madani berkembang. Mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar adalah lambang terbinanya ukhuwah dan persaudaraan atas ikatan tauhid yang menjadi cabaran umat manusia sepanjang zaman. 

Ukhuwah yang terbina itu amat murni tujuannya sehingga perbezaan faktor latar kabilah atau etnik bukanlah asas menyebabkan umat dan manusia harus bertelagah. Termeterainya Piagam Madinah adalah satu pencapaian besar menjadikan sebuah perlembagaan rujukan semua dalam realiti masyarakat berbilang. 

Bukan faktor penghalang 


Kemajmukan masyarakat bukanlah faktor penghalang ke arah membina tamadun madani tetapi faktor ‘litarafu’ atau kekenalan dalam erti kata luas serta wujudnya semangat kesalingan yang tinggi menyebabkan asas tamadun terbina. Tamadun madani yang dipimpin Rasulullah SAW menjadi model atau landasan utama membangunkan tamadun seterusnya berjaya meletakkan Model Madani model hidup sepanjang zaman.

Kedinamikan tamadun madani tidak bermakna tidak wujudnya perkembangan dan perubahan yang memperkayakan asas tamadun itu. Perubahan pada bentuk dan maksud asasi dan fungsi bentuk tidak banyak berubah. Umpamanya bagi melahirkan abid yang berilmu, as suffah dibangunkan, tradisi majalis (mengaji) diwujudkan dan akhirnya tradisi halaqah menjadi resam amalan. 

Tradisi ini terus berkembang pada zaman terkemudian dengan berkembangnya tradisi quttab, nizamiyyah, madrasah dan lain-lain. Tradisi ini melahirkan ilmuwan terbilang dan menjadi tonggak terbangunnya tamadun Islam yang sifatnya menyumbang kepada umat manusia.

Zaman Madinah umpamanya, jenis kenderaan ditunggangi ialah kuda, keldai dan unta. Muamalah atau jual beli barangan berasaskan kaedah tukaran. Kini masyarakat dunia menggunakan kenderaan canggih tetapi maksud atau fungsi kenderaan masih tidak berubah. Kenderaan ialah mempermudah dan mempercepatkan perjalanan dan mempermudah pengangkutan dan penumpangan. 
Apa yang perlu ditimba daripada pengalaman tamadun silam ialah roh dan prinsipnya. Metodologinya sentiasa dinamik kerana faktor ilmu dan teknologi membantu canggihnya mekanisme bersifat sezaman. Contohnya amalan riba ditegah pada zaman Rasulullah SAW. 

Dalam konteks Bank Islam dan Takaful Islam di Malaysia umpamanya bentuk mekanisme dalam muamalah berubah dengan mengekal roh tanpa riba dan prinsip meningkatkan kualiti urus niaga bagi maksud kesejahteraan lebih tinggi. Bank Rakyat umpamanya memikat orang bukan Islam melabur dan meminjam. Dua faktor menyebabkan keuntungan dan kestabilan. Apabila institusi seperti ini memikat yang bukan Islam ia petanda baik bagi faktor patuh syariah bakal berkembang dalam sistem ekonomi suatu hari nanti.

Oleh kerana sifat zaman dinamik berubah, roh al-masajid hasil terbangunnya jiwa rukuk dan sujud bakal menghasilkan ahli ibadah (dalam erti kata yang luas) meneroka landasan membangun sistem supaya lahir kepemimpinan dan kepengikutan terarah dan suatu corak kehidupan yang memiliki roh al-solat yang memimpin umat menghasilkan yang makruf dan menjauhi kemungkaran dan beriman kepada Allah. Inilah sebaik-baik umat yang bakal memimpin diri dan umat manusia.

Roh al-masajid mampu diterjemahkan di luar masjid dalam konteks mujahadah amal yang menampilkan peribadi yang mengurus sistem. Amalan berjemaah, ada imam dan makmum, jiwa rukuk dan sujud harus terpancar di luar masjid. Solat berimam dan bermakmum adalah simbolik pentingnya faktor kepemimpinan dan kepengikutan dalam kehidupan.

Dimensi kehambaan

Jiwa rukuk dan sujud harus memberikan dimensi kehambaan supaya sifat taat sentiasa menjadi disiplin dalam pengurusan diri dan sistem, sifat tunduk kepada kebenaran, sifat akur menjadikan al-Quran sebagai sumber dalam menghadapi cabaran dan sifat patuh yang mendasari disiplin diri terhadap keadilan dan kebenaran.

Jika ini terjadi umat Islam berada dalam ikatan ukhuwah yang tinggi. Muzakarah akan sentiasa berlaku, sifat kasih sayang dan sabar sering terserlah, memahami satu dengan lain dan pengorbanan dan tolak ansur menjadi cerminan gelagat dan tabiat. Masjid secara simbolik menjadi sumber kekuatan umat tetapi kalau masjid hanya meraikan kegiatan rohaniah yang tidak dihubungkan hal di luar masjid, perubahan ke arah sistem Islami sukar berlaku. Ia hanya rutin rohaniah bukan tempat membina hati dan ilmu untuk maksud di luar masjid... 

Setiap amalan baik dikira sedekah

Allah SWT berjanji tidak akan mempersia-siakan setiap amalan baik yang telah dilakukan hamba-Nya bahkan perbuatan baik akan mendapat ganjaran setimpal malah lebih baik daripada apa yang dilakukan iaitu hidup selamat di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan amal salih (baik), sama ada lelaki ataupun perempuan, dalam keadaan beriman, sesungguhnya Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami balas kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97) 
Perbuatan baik yang boleh memberi kepuasan dan membahagiakan hati orang lain ternyata banyak antaranya amalan suka bersedekah. Amalan ini tidak dapat dilakukan jika hati berjerebu, penuh dengan kebakhilan dan sukar untuk bersyukur kepada Allah SWT. 


Ada segelintir yang cetek fahamannya menganggap sedekah itu hanya dalam bentuk wang atau benda. Sedekah justeru semua perbuatan yang dapat memberi manfaat atau faedah kepada orang lain. 

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap sendi di tubuh badan manusia menjadi sedekah untuknya pada setiap hari matahari terbit. Kamu melakukan keadilan di antara dua orang yang berbalah adalah sedekah, kamu menolong orang menaiki kenderaan atau kamu mengangkat barang-barang untuknya ke dalam kenderaan adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah kamu berjalan ke masjid untuk menunaikan solat adalah sedekah dan kamu membuang perkara-perkara yang menyakiti di jalan adalah sedekah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Mengeluarkan kata yang baik seperti memberi nasihat, mengajar ilmu bermanfaat bersumber daripada al-Quran atau hadis, menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat perkara melanggar syariat juga adalah sedekah. 

Mengawal lidah 
Orang yang boleh mengawal lidahnya daripada tergelincir akan mendapat balasan baik daripada Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka, kecuali bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia lain) memberi sedekah, atau berbuat makruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barang siapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 114) 

Inilah sebenarnya antara ciri-ciri seorang Muslim beriman, selalu mengeluarkan kata-kata yang baik dan tidak suka mengeluarkan kata tidak berfaedah, berbohong, menabur fitnah yang hanya merosakkan ikatan silaturahim dan perpaduan ummah. 

Sabda Rasulullah SAW: “Manusia tidak akan teguh imannya, sebelum hatinya teguh dan tidak akan teguh hatinya sebelum lidahnya teguh.” (Riwayat Ahmad) 

Justeru, kita hendaklah sentiasa melakukan apa saja bentuk kebaikan seperti sedekah demi menjaga kebajikan orang lain kerana amalan itu sangat dituntut. Lakukan sekadar kemampuan yang ada sebaik-baiknya dan penuh ikhlas serta mengharapkan keredaan Allah SWT. 

Sesungguhnya orang yang melakukan kebaikan pasti menerima ganjaran pahala daripada Allah SWT manakala orang yang enggan berbuat demikian kerana terperangkap dengan ajakan nafsu termasuk golongan orang yang rugi serta mendapat kemurkaan Allah SWT. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah, apakah Kami akan beritahu kepadamu mengenai orang yang paling merugi perbuatannya? Iaitu orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan ini sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.” (Surah al-Kahfi, ayat 103-104)...

Bertafakur bina kekuatan diri insan

Tatkala Allah SWT menciptakan alam ini, segala isinya terdiri daripada manusia, binatang, galian, tumbuhan dan lain-lain diciptakan dengan sukatan serta perkiraan yang tepat. Oksigen, kadar kepanasan, kesejukan, suhu untuk mendapat kelangsungan hidup serta kesuburan maksimum. 

Ilmuwan fizik berpendapat jika matahari tidak diciptakan dengan ukuran seumpama hari ini, nescaya tiada tumbuhan yang akan hidup di bumi. 
Segala-galanya sudah ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan Kami anugerahkan kepada tiap-tiap sesuatu dengan kadar yang seimbang.” (Surah al-Qamar, ayat 49) 


Imam Fakhrurrazi mengulas bahawa ciptaan ini seolah-olah menzahirkan ilmu dan hikmah Allah SWT sehingga segala-galanya dapat membiak untuk kepentingan manusia. Di sinilah letaknya satu ibadat yang sering dilupakan umat manusia iaitu ibadat tafakur dan meneliti setiap ciptaan Allah SWT. 

Tafakur jana kemajuan 

Ulama mengumpamakan berfikir sejenak (tafakur) adalah lebih baik daripada beribadat seribu tahun kerana berfikir sejenak (tafakur) akan melonjakkan pemikiran serta menjana kemajuan. Namun, Islam menunjukkan tafakur sebenar adalah sesuatu yang mendorong kepada Allah SWT. 

Allah SWT sudah merumuskan segala-galanya melalui surah Ibrahim yang dimulakan dengan kata-kata meminta si pembaca mengamati dengan teliti akan ciptaan Allah SWT. Maksud penelitian pada ciptaan Allah SWT yang membawa kepada ilmu dan hikmah. 
Asas kepada ibadat ini sudah didedahkan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Iaitu mereka yang sentiasa mengingati Allah SWT dalam keadaan, berdiri, duduk dan berbaring, serta berfikir terhadap kejadian langit dan bumi.” (Surah al-Imran, ayat 191) 

Baginda SAW bersabda: “Alangkah rugi dan celaka orang yang membaca ini dan tidak memikir dan merenungkan kandungan ertinya.” Menunjukkan bahawa berfikir terhadap ciptaan Allah SWT adalah setaraf dengan zikrullah yang lain dan mendapat perhatian daripada Baginda SAW. 

Inilah ibadat yang memartabatkan manusia kepada kedudukan hampir dengan Allah SWT. Nabi Muhammad SAW sentiasa bertafakur di gua Hira’ di mana Baginda SAW menerima wahyu pertama dan seterusnya menjadi penutup sekalian Nabi serta Rasul. 

Begitu juga Maryam yang mendapat nikmat luar biasa daripada Allah SWT sehingga namanya diabadikan dalam al-Quran pada surah Maryam. Beliau memilih tempat istirahat yang menampakkan keindahan cahaya matahari yang mendorong kepada mengingati Allah SWT. 

Segala-galanya mendorong Maryam untuk rukuk dan sujud kepada Allah SWT. Maka diangkat darjat Maryam dengan kemuliaan daripada Allah SWT dengan gelaran ketua wanita cawangan Baitul Maqdis. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Maryam, sesungguhnya Allah SWT telah memuliakanmu dan membersihkan kamu seterusnya memilih kamu sebagai wanita pilihan.” (Surah al-Imran, ayat 42) 

Akhirnya beliau dilimpahkan rahmat dan rezeki yang tidak pernah putus-putus daripada Allah SWT serta mendapat kemuliaan dengan kandungan yang melahirkan seorang Nabi iaitu Isa. Diulangi nama beliau dalam al-Quran sebanyak 33 kali yang menyamai sujud dalam solat. Jelas menunjukkan bahawa bertafakur akan menjadikan seseorang lebih berjaya. 

Lebih baik daripada ibadat 70 tahun 

Satu hari seorang sahabat Baginda SAW iaitu Miqdad Ibnu Al-Aswad berjumpa dengan Abu Hurairah lalu beliau mengkhabarkan kepada Miqdad: “Aku mendengar Rasulullah memberitahu kepadaku, sesiapa yang berfikir satu saat maka itu terlebih baik daripada beribadat setahun.” 

Miqdad berlalu dan berjumpa pula dengan Ibnu Abbas, lalu dikhabarkan kepada Miqdad: “Aku mendengar bahawa Rasulullah SAW memberitahu kepadaku, barang siapa yang berfikir satu saat maka ia terlebih baik daripada beribadat tujuh puluh tahun.” 

Miqdad keliru dengan perkhabaran dua sahabat tadi, kerana apa yang disampaikan oleh kedua-duanya berbeza. Lantas beliau mengadukan hal ini kepada Nabi SAW. Baginda SAW mengarahkan supaya memanggil Abu Hurairah dan Ibnu Abbas berjumpa dengannya. 

Baginda SAW bertanya kepada Abu Hurairah: “Bagaimana cara engkau berfikir? Jawab Abu Hurairah: Aku memikirkan mengenai tujuh petala langit dan bumi (mendatangkan rasa keagungan kepada Allah dalam diri). Maka jawab Baginda SAW: Benar, engkau mendapat berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun. Sabdanya lagi: Telah turun al-Quran kepadaku, rugilah bagi mereka yang membaca al-Quran tapi tidak memikirkannya. 

Baginda SAW bertanya pula kepada Ibnu Abbas apa yang difikirkannya. Jawab Ibnu Abbas: “Aku memikirkan kematian dan huru-haranya ketika itu. Lalu baginda menjawab: Benar, berfikir begitu maka engkau mendapat kelebihan sesaat berfikir maka terlebih baik daripada beribadat 70 tahun. 

Menunjukkan bahawa hakikat sebenar pemikiran manusia akan membawa kepada pengiktirafan terhadap kekuasaan Allah SWT dan akhirnya mereka akan tunduk dan patuh dengan perintah-Nya. 

Tafakur juga akan membantu menghasilkan kesempurnaan kepada peringkat muhasabah diri. Apabila segala proses tafakur dan muhasabah berjalan lancar, maka manusia akan tunduk dan sujud kepada Allah SWT. 

Kesan daripada ibadat tafakur dapat menjana dan membentuk kekuatan baru dalam kehidupan. Ingatlah bahawa hari akhirat adalah tempat yang hakiki dan Allah SWT adalah matlamat utama yang perlu dicari...