Khamis, 3 April 2014

KECAPI PEMBERIAN TUHAN

Hanya dengan menginsafi nikmat cukup menandakan individu beriman

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia!



Beribadahlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang yang) bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 21) 

Ayat mengandungi seruan seumpama ini adalah yang pertama dalam susunan al-Quran dan diulang sebanyak 20 kali dalam keseluruhan al-Quran. Sekalian manusia yang dimaksudkan ialah manusia pada zaman Rasulullah SAW dan selepasnya. 


bermakna perintah beribadah adalah perintah yang berterusan serta berpanjangan kepada seluruh manusia dulu, kini dan akan datang. Islam datang ketika dunia dipenuhi dengan timbunan kepercayaan, pemikiran, pendapat yang bercampur aduk di antara yang benar dan batil. 



Kepercayaan jahiliah tegak di merata tempat dengan kepercayaan kepada pelbagai tuhan yang disifatkan sebagai tuhan-tuhan kecil di samping tuhan yang agung mengikut sangkaan mereka. 

Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan membawa mesej terpenting iaitu mengabdikan diri hanya semata-mata kepada Allah SWT sama seperti dakwah rasul sebelum baginda. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.” (Surah an-Nahl, ayat 36) 

Fokus dakwah Baginda SAW ketika itu ialah bangsa Arab dan Yahudi Madinah serta kawasan sekitarnya. Ini disebabkan mereka pernah beriman kepada Allah SWT, tetapi telah menyembah selain-Nya atau menjadikan suatu perantaraan dengan Allah SWT. 
Perkataan ibadah dalam bahasa Arab memberi maksud tunduk, sembah dan merendah diri. Di sini, ibadah membawa makna mentauhidkan Allah SWT, beriltizam dengan syariat-Nya dan menolak pemujaan kepada selain Allah SWT. 

Manusia diseru supaya beribadah kepada Tuhan mereka. Perkataan Ar-Rab (Tuhan) yang digunakan adalah nama Allah SWT yang paling hampir kepada manusia. Rab al-Alamin bermaksud Tuhan sekalian alam yang mendidik dan memelihara seluruh alam. 

Allah SWT tidak pernah menghalang makhluknya menikmati pemberian rububiyyah-Nya di dunia ini. Sinaran matahari dapat dinikmati oleh semua orang sama ada orang Mukmin atau kafir, hujan turun untuk semua sama ada orang itu teguh keimanannya atau langsung tidak mempercayai kewujudan Allah SWT. 

Begitu juga seseorang itu boleh menghirup udara segar Allah SWT sama ada dia seorang yang sentiasa mengerjakan solat lima waktu atau tidak pernah bersolat walaupun satu rakaat ketika hidupnya. 

Al-Quran menarik perhatian manusia bahawa hanya dengan menginsafi segala pemberian nikmat Allah SWT, ia sudah cukup kepada manusia untuk beriman dan patuh kepada-Nya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).” (Surah al-Baqarah, ayat 22) 

Ramai yang mengakui Allah SWT sebagai Tuhan pencipta alam, tetapi di samping itu mereka mempercayai pelbagai tuhan yang lain menguasai kehidupan mereka. Kepercayaan seperti ini nampak jelas aneh dan lucu, tetapi itulah yang telah berlaku dan sedang berlaku. 

Jika hanya Allah SWT saja yang disembah dan diminta pertolongan, maka selama itulah manusia bebas daripada perhambaan kepada peraturan dan undang-undang ciptaan manusia, tokoh serta dongeng dan kepercayaan karut-marut. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya, sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang yang tidak melakukan syirik) mengenai apa yang mereka perselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).” (Surah al-Zumar, ayat 3) ...

Tiada ulasan: