Rabu, 19 Februari 2014

Kerajaan negeri didesak tutup pusat urut


 

Kerajaan negeri didesak tutup pusat urut



Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Selatan/20140220/ws_01/Kerajaan-negeri-didesak-tutup-pusat-urut#ixzz2tpdgDUA5
© Utusan Melayu (M) Bhd


Sebahagian daripada 20 ahli NGO menunjukkan laporan polis dan meminta pihak berkuasa menutup premis rumah urut selepas membuat aduan itu di Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - Utusan/Abd. Razak Aid
SEREMBAN 19 Feb. - Lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik mendesak dan meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri menutup semua premis rumah urut di negeri ini yang dilihat semakin bertambah di beberapa buah daerah ketika ini.
Presiden Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN) Mejar (B) Razali Zakaria menjelaskan, kewujudan rumah urut bukan sahaja mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini malah ia juga dilihat menjadi sarang maksiat di sebalik perkhidmatan ditawarkan.
Malah beliau juga melahirkan rasa kesal apabila tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam membanteras kegiatan maksiat dalam kalangan umat Islam di negeri ini dicabar oleh segelintir pihak yang bertindak samseng dan mengugut pihak berkuasa.
''Dalam hal ini kita tidak boleh berdiam diri dan kita akan menghantar memorandum kepada kerajaan negeri dalam tempoh terdekat mendesak agar menutup semua premis urut yang semakin bertambah di negeri ini.
''Kita melihat terdapat pertambahan yang mendadak premis-premis ini mengundang rasa kurang senang dalam kalangan umat Islam malah dikhuatiri menjadi tempat kegiatan maksiat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung kejadian kekecohan dan insiden khianat di Pejabat Penguat kuasa JHEAINS di Rahang dekat sini Ahad lalu.
Dalam insiden yang berlaku pukul 5 pagi itu sekumpulan sembilan lelaki bertindak samseng apabila menyerang dan merosakkan sebuah pacuan empat roda (4WD) milik penguat kuasa JHEAINS.
Dalam pada itu Setiausaha Agung Gabungan NGO Malaysia, Mohd. Arafat Muhammad mewakili kumpulan tersebut berkata, biarpun pihak polis telah pun membuat tangkapan terhadap lima individu yang terlibat namun perbuatan berkenaan mencabar institusi Islam.
''Laporan polis yang dibuat ini adalah sebagai satu sokongan pihak NGO terhadap usaha pembanterasan jenayah syariah di negeri ini dan kita minta kepada penguat kuasa agar tidak tunduk kepada mana-mana pihak.
''Kita juga mahu agar tindakan tegas diambil kepada mereka yang terlibat oleh pihak berkuasa selain diberi jaminan keselamatan ketika menjalankan sebarang operasi," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu mengesahkan menerima laporan tersebut dan kelima-lima suspek yang ditahan masih direman bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan dan Seksyen 427 kanun sama kerana melakukan perbuatan khianat.

Serang JHEAINS cabar Islam  
SEREMBAN – Tindakan sekumpulan samseng menyerang anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam kejadian Ahad lalu, mengundang kemarahan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Berikutan itu, semalam, sebanyak dua puluh NGO termasuk pertubuhan politik membuat laporan di Balai Polis Seremban 2, dekat sini, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan samseng terbabit.

Antara NGO yang membuat laporan adalah Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN), Gabungan Persatuan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Belia Gagah Malaysia, Pertubuhan Islam Gabungan Amal dan  Pertiga.

Turut serta, Persatuan Sukarelawan Ampangan, Majlis Ayahanda Negeri Sembilan, Pergerakan Pemuda Umno Negeri Sembilan dan Umno Cawangan Rasah Jaya yang hadir kira-kira 2 petang di balai polis berkenaan.

Presiden GMPN, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, pihaknya mengecam perbuatan kumpulan berkenaan yang menyerang, memaki hamun dan mengugut, serta merosakkan kereta milik anggota penguat kuasa JHEAINS.

Sedangkan, katanya, anggota penguat kuasa  menjalankan tanggungjawab membanteras maksiat dan rumah urut yang sememangnya bercanggah dengan Islam.

“Apabila mereka berani bertindak secara ganas terhadap agensi penguatkuasa kerajaan, ia boleh dilihat sebagai mencabar Islam.

“Oleh itu, kita mendesak supaya polis mengambil tindakan tegas kepada mereka yang telah ditangkap mengikut undang-undang sedia ada.

“Ini adalah bagi memastikan anggota penguatkuasa Islam dan juga masyarakat diberi jaminan keselamatan yang tinggi dari ancaman kumpulan sam

eng dan kongsi gelap daripada terus bermaharajalela,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis tersebut.

Turut serta, Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Negeri Sembilan, Ridzuan Ahmad; Pemangku Setiausaha Gabungan Persatuan NGO Malaysia, Mohd Arafat Muhamad dan barisan lebih 50 ahli NGO yang lain.

Sementara itu, Ridzuan Ahmad berkata, pihaknya turut menggesa pihak berkaitan supaya mengambil tindakan dengan menutup pusat urut dan pusat perjudian yang beroperasi di sebalik sindiket kegiatan haram di negeri ini.

Ridzuan berkata, Umno dan semua NGO akan terus mempertahankan dan memberi sokongan kepada penguat kuasa JHEAINS dalam terus menjalankan tugas membanteras kegiatan haram dan maksiat di negeri ini demi kebaikan masyarakat Islam.



 

Tiada ulasan: