Jumaat, 28 Jun 2013

Selawat Nabi-NUR MUHAMMAD s.a.w


H.R. Ibnu Khuzaimah
"Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan,bulan yang penuh keberkatan.Allah telah mewajibkan kepadamu puasa-Nya. Didalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh syaithan.Padanya ada suatu malam yang terlebih baik dari seribu bulan.Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu,maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan."
"Telah datang kepadamu bulan Ramadhan penghulu segala bulan,maka "Selamat datanglah" kepadanya."
Wahai manusia,sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang senantiasa besar lagi penuh keberkatan,bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu kewajiban,dan qiam dimalam harinya suatu tatawwu'.
Barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan didalamnya samalah dia dengan orang yang menunaikan sesuatu fardhu didalam bulan yang lainnya.Barangsiapa menunaikan sesuatu fardhu dalam bulan Ramadhan samalah dia dengan orang yang mengerjakan tujuh puluh fardhu dibulan lainnya. Ramadhan itu adalah bulan sabar,sedangkan sabar itu pahalanya adalah surga. Ramadhan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah memberikan rezeki kepada mukmin didalamnya.
Barangsiapa memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa,yang demikian itu adalah pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya dari neraka.Orang yang memberikan makanan itu memperoleh pahala seperti yang diperoleh orang yang berpuasa.Allah memberikan pahala itu kepada orang yang memberikan walaupun sebutir korma,atau seteguk air,atau sehirup susu.Dialah bulan yang permulaannya Rahmah,pertengahannya ampunan,dan akhirnya kemerdekaan dari neraka.Barangsiapa yang meringankan beban seseorang (yang membantunya) niscaya Allah mengampuni dosanya.Oleh itu banyakkanlah yang empat perkara dibulan Ramadhan.
Dua perkara untuk mendatangkan keredhaan Tuhanmu dan dua perkara lagi kamu sangat menghajatinya.Dua perkara yang pertama ialah mengakui dengan sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan mohon ampun kepada-Nya.
Dua perkara yang kamu sangat memerlukannya ialah mohon syurga dan perlindungan dari neraka.Barangsiapa memberi minum orang yang berpuasa,niscaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolamku dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya,sehingga dia masuk kedalam syurga."

Tak hargai khazanah alam punca jerebu

Allah SWT bersifat Maha Pemurah lagi Maha Penyayang telah menganugerahkan pelbagai nikmat kepada hamba-Nya dan antara kurniaan nikmat tiada ternilai itu ialah nikmat kesihatan. Kesihatan membolehkan manusia menjalani kehidupan aman sentosa dan lancar melakukan kerja harian.

Kesihatan juga membolehkan kita melakukan ibadah kepada Allah SWT dengan sempurna. Menyedari tingginya nilai kesihatan, maka menjadi kewajipan umat Islam untuk menjaganya kerana kesihatan manusia berkait rapat dengan keharmonian alam serta kehidupan. 
Sabda Rasulullah SAW: Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan manusia iaitu nikmat sihat dan masa lapang. (Riwayat al-Bukhari) 


Justeru, agama Islam melarang umatnya melakukan perkara yang boleh merosakkan kesihatan termasuklah kerosakan alam sekitar. Umat Islam wajib mencontohi akhlak junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam memastikan hubungan dengan alam terus terpelihara. 

Maka apa saja kehidupan di alam ini wajib diberikan hak kehidupannya mengikut sunatullah. Manusia yang bijak mengguna akal fikiran akan bertambah mulia martabat mereka jika dapat memanfaatkan khazanah alam dengan baik.

Larangan lakukan kemusnahan alam

Bagi memastikan hubungan baik dengan Allah terpelihara, menjadi tanggungjawab manusia memelihara dan memperkasa hubungan yang baik sesama manusia dan makhluk Allah. Islam melarang umatnya melakukan kemusnahan alam kerana perbuatan ini akan memberi kesan sampingan kepada keharmonian hidup manusia. 
Kesejahteraan hidup yang baik, sihat, ceria dan maju adalah nikmat tidak terhingga indahnya. Allah akan memberi ganjaran tinggi kepada hambanya yang sentiasa mensyukuri nikmat ini. Allah SWT menyatakan sifat kufur nikmat akan dibalas dengan azab seksa yang amat pedih. 

Firman Allah SWT: Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras. (Surah Ibrahim, ayat 7) 

Amalan bersyukur juga hendaklah dijelmakan dan direalisasikan dalam kehidupan seharian. Dinasihatkan umat Islam mengambil iktibar daripada kesilapan manusia di masa lalu yang banyak melakukan kerosakan di muka bumi Allah ini, sama ada melalui perbuatan mahupun perkataan.

Malapetaka hasil kerakusan manusia

Kita mengakui bencana alam boleh berlaku disebabkan kesilapan dan kerakusan manusia mengeksploitasi alam secara berlebihan sehingga keseimbangan mula terganggu dan tidak dapat dikekalkan.

Walaupun sememangnya alam ini perlu terus dibangunkan, keselesaan hidup perlu ditingkatkan, teknologi perlu selaras keperluan manusia, namun apabila keseimbangan alam tidak dikekalkan, kita sebenarnya mengundang malapetaka hasil perbuatan sendiri. 

Hari ini kebanyakan kawasan di negara kita dilanda jerebu. Pada dasarnya jerebu adalah ujian Allah SWT yang disebabkan oleh zarah terampai dalam atmosfera pada kepekatan tinggi sehingga menyebabkan daya penglihatan berkurangan. 

Penyebab berlakunya jerebu ialah aktiviti manusia yang mengetepikan sunnah alam antaranya pembakaran terbuka, pembukaan tanah, penggunaan kenderaan bermotor dan pembakaran bahan api industri. 

Yakinlah bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran peranan dan tanggungjawab semua pihak mengurus serta mengurangkan kesan bencana alam perlu dilaksanakan. 

Udara yang bersih menyihatkan tubuh badan manusia manakala udara tercemar sudah pasti akan mengancam kesihatan. Justeru, semua pihak perlu mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga kualiti udara di negara kita.

Ingatlah, perlakuan kita yang menyakitkan dan memudaratkan orang lain atau kehidupan lain, sudah pasti mendedahkan kita kepada kemurkaan Allah SWT. Sebarang usaha menghindarkan kerosakan dan kemudaratan sebagai tanda wujudnya kesempurnaan iman. 

Marilah berdoa kepada Allah SWT semoga jerebu akan berkurangan dan menunaikan solat sunat Istisqa secara berterusan dengan memohon rahmat Allah SWT menurunkan hujan hingga cuaca pulih seperti sedia kala...

FIRMAN

ALLAH SWT berfirman; “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan - dari orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang kafir musyrik itu menjadi penolong-penolong dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 57)...

PERANAN HATI



BAIK buruk peranan hati dalam islam

Hati merupakan asas yang sangat penting dan tersembunyi dalam diri setiap insan. la memainkan peranan yang sangat bermakna dalam kehidupanseharian.

Rasulullah s.a.w. menyatakan soal hati seperti berikut:‘Ketahuilah kamu di dalam badan manusia terdapat segumpal darah. Apabila baik maka baiklah keseluruhan segala perbuatannya dan apabila buruk maka buruklah keseluruhan tingkah lakunya. Ketahuilah kamu bahawa ia adalah hati’
Berdasarkan hadis di atas bahawa kebaikan manusia atau keburukannya datang dari hati, kerana hati adalah pengarah bagi pancaindera yang lahir. Jika hatinya baik maka baiklah segala perbuatannya serta rasa senang setiap rakantaulan mendekatinya dalam pergaulan. Andai hatinya buruk dan busuk, maka segala perbuatannya akan jahat dan keji, sentiasa cenderung ke arah maksiat mengikut kehendak hati dan hawa nafsu. 

Oleh itu, hati adalah raja bagi seluruh anggota,manakala anggota-anggotanya yang lain adalah tentera. 
Anggota-anggota ini sering melakukan sesuatu mengikut kehendak hati. Andai baik hati maka baiklah dalam pergaulan. Andai sebaliknya, maka kawan dan rakan seringkali menjadi mangsa. 
Dalam masalah ini Allah s.w.t sentiasa mengingatkan kepadahamba Nya melalui firman Nya dalam al Quran, surah al Syu'ara' 26, ayat 88-89yang berbunyi:‘Di hari yang tidak ada manfaat sama ada harta benda begitu juga anak-anak melainkan sesiapa yang menghadap Allah dengan hati yang suci murni (iaitu penuh keikhlasan) kerana Allah semata-mata.’Hati yang amat dihargai di sisi Allah ialah hati yang suci bersih dari sebarang maksiat, syubhah, hasad dengki dan seterusnya perkara perkara yangmakruh atau yang dibenci oleh Allah. 

Sebab itu Rasulullah s.a.w sentiasa berdoa kepada Allah dengan sabdanya:‘Ya Allah, sesungguhnya aku memohon darimu hati yang suci bersih ...

Khamis, 27 Jun 2013

Persahabatan ibarat sebiji benih

“Persahabatan ibarat sebiji benih yang ditanam, disiram dan dijaga Tunas yang kian berputik subur. Membesar menumbuhkan pohon. Berkembang menyerata ranting. Merimbun hijarapi agar mengalir melalui kekuatan akarnya. Dedaunan yang tak terhitung. Mewangi bunga-bungaan penuh aroma keharuman. Dan menghasilkan buah ranum yang segar dan menyehatkan... AMAL MAKRUF NAHI MUNGKAR ...

















Rabu, 26 Jun 2013

SANTUNI KELUARGA

MEMPERLAKUKAN isteri dengan baik merupakan perkara yang dianjurkan oleh syariat. Seorang suami wajib memperlakukan isterinya dengan baik serta banyak bersabar dan berlapang dada dalam menghadapinya. Apa lagi jika usia si isteri masih belia.
Hal itu berdasarkan sebuah hadis riwayat Aisyah berkata: "Demi Allah, saya melihat Rasulullah SAW berdiri di depan pintu kamarku sementara orang-orang Habsyah bermain-main tombak di masjid. Rasulullah menyitariku dengan selendangnya agar aku dapat menyaksikan permainan mereka dari balik telinga dan leher pundak baginda. Baginda tidak beranjak sehingga aku puas dan beranjak dari situ. Baginda memperlakukanku sebagaimana seorang gadis muda beliau yang masih senang permainan." (riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasai dan Ahmad)
Hal itu berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Dan yang terbaik di antara kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya." (riwayat at- Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Hibban)
Pada suatu ketika Aisyah ikut bersama Rasulullah SAW dalam sebuah lawatan. Aisyah berkata: "Pada waktu itu aku masih seorang gadis yang ramping. Baginda Rasulullah memerintahkan rombongan agar bergerak terlebih dahulu. Mereka pun berangkat mendahului kami. Kemudian baginda berkata kepadaku: "Ke marilah! sekarang kita berlumba lari." Aku pun melayaninya dan ternyata aku dapat mengungguli baginda. Baginda SAW hanya diam saja atas keunggulanku tadi."
Aisyah juga berkata: "Hingga dalam kesempatan lain, ketika aku sudah agak gemuk, aku ikut bersama baginda dalam sebuah lawatan. Baginda memerintah rombongan agar bergerak terlebih dahulu. Kemudian baginda menentangku berlumba kembali. Dan kali ini baginda pula dapat mengungguliku. Baginda tertawa seraya berkata: "Inilah penebus kekalahan yang lalu!" (riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad)
Pada kesempatan yang lain, Aisyah berkata: "Rasulullah SAW pernah berkata kepadaku: Aku tahu bila engkau senang padaku dan bila engkau marah padaku. Dari mana engkau mengetahuinya? tanya Aisyah."
Rasulullah menjawab: "Jika engkau senang padaku maka engkau akan berkata: Tidak, demi Rabb Muhammad! Jika engkau marah padaku maka engkau akan berkata: Tidak, demi Rabb Ibrahim!
"Benar, yang aku hindari hanyalah menyebut namamu. Aisyah membuat pengakuan." (riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Kesempurnaan iman
Antara bukti kesempurnaan iman adalah memberi nafkah kepada keluarga (anak dan isteri) dan tidak membiarkan mereka hingga terlantar tidak terurus. Hal itu merupakan kezaliman yang sangat besar.
Daripada Abdullah bin Amr, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Cukuplah seseorang menuai dosa apabila ia menelantarkan orang-orang yang menjadi tanggungannya (keluarganya)." (riwayat Abu Dawud dan Ahmad)
Jika si suami seorang yang kikir terhadap anak dan isterinya, maka si isteri boleh mengambil harta suaminya tanpa pengetahuannya, dengan syarat harus digunakan secara baik, bukan untuk menghambur-hamburkannya sebab hal itu adalah kezaliman.
Sayidatinna Aisyah meriwayatkan : "Hindun Ummu Mu'awiyah mengadu kepada Rasulullah SAW: Sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang suami yang kikir. Apakah saya boleh mengambil hartanya tanpa pengetahuannya? Rasulullah SAW menjawab: "Ambillah daripada hartanya untuk memenuhi keperluanmu dan keperluan anak-anakmu dengan cara yang makruf." (riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, An-Nasai, Ibnu Majah)
Beberapa orang yang tidak meneliti masalah ini dengan cermat berkata bahawa hadis ini bertentangan dengan sabda nabi yang bermaksud: Tunaikanlah amanah kepada orang yang mengamanahimu dan janganlah khianati orang yang mengkhianatimu. (riwayat Abu Dawud, at-Tirmidzi, ad-Darimi, al-Bukhari)
Mengambil harta suami tanpa izinnya merupakan satu perbuatan khianat. Hal itu telah dilarang berdasarkan nas al-Quran dan sunah. Tetapi apa yang dimaksud oleh Rasulullah SAW dalam hadis Hindun adalah tidak sebagaimana yang baginda maksud dalam hadis di atas.
Alim ulama telah menyebut barang siapa yang memiliki hak ditangan orang lain lalu ditahan oleh orang tersebut, maka ia boleh mengambil sesuatu daripada harta orang tersebut sebagai pengganti haknya yang ditahan.
Sebagaimana dimaklumi bahawa di rumah suami yang kikir tentunya tidak tersedia barang-barang berupa pakaian dan minuman) dan segala keperluan yang wajib disediakannya untuk anak dan isteri.
Rasulullah SAW telah memberi izin kepada Hindun untuk mengambil sekadar keperluannya dan anak-anaknya. Sementara hadis di atas (Tunaikanlah amanah…) maksudnya adalah tidak mengkhianati amanah setelah keperluannya dicukupi.
Adapun mengambil sekadar keperluan, hal itu memang diizinkan oleh syariat. Oleh sebab itu, hadis Hindun tersebut tidaklah termasuk perkara yang dilarang dalam hadis terdahulu...


YADIM

YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) merupakan satu badan yang ditubuhkan kerajaan untuk menyelaras dan melaksanakan peranan dakwah di Malaysia.
Sejak ditubuhkan pada 1974 sehingga kini, Yadim berjaya melakar peranan dakwah di seluruh pelosok tanah air lalu meletakkan Islam dipandang tinggi oleh semua masyarakat termasuk bukan beragama Islam.
Usaha itu dijayakan oleh tenaga kerja Yadim yang bertungkus-lumus menjaya agenda dakwah termasuk barisan kepimpinan badan itu yang bermula daripada Yang Dipertua pertama, Tun Syed Nasir Ismail sehinggalah jawatan itu kini disandang oleh seorang anak muda bernama Dr. Asyraf Wajidi Dusuki.
Nama Asyraf Wajidi sudah tidak asing dalam bidang muamalat apabila beliau yang merupakan ahli akademik telah bergiat aktif di peringkat antarabangsa untuk memperkenalkan sistem kewangan Islam kepada dunia.
Namun beliau kini menggalas amanah untuk melaksanakan tanggungjawab dakwah kepada seisi rakyat Malaysia apabila dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Yang Dipertua Yadim baharu berkuat kuasa pada 3 Jun lalu.
"Saya bukan Yang Dipertua tetapi dipertuankan," demikian gurauan ringkas Asyraf Wajidi ketika ditemui pertama kali oleh Mega Utusan Malaysia selepas seminggu dilantik mengetuai badan Yadim baru-baru ini.
Terlebih dahulu ketika ditanya apakah relevan bagi anak muda untuk mengetuai sesebuah badan agama, Asyraf Wajidi memberitahu perkara pertama yang perlu difahami bahawa perkembangan agama Islam ketika zaman sirah diterajui dan didokong oleh golongan muda.
Beliau menambah pada waktu itu, golongan yang bersama-sama perjuangan Nabi Muhammad SAW terdiri daripada anak-anak muda antaranya seperti Ali Abi Talib, Zubir Awwam dan lain-lain lagi, malah yang paling tua pada waktu itu adalah Abu Bakar.
"Sehinggalah Rasulullah pernah bersabda, sesungguhnya aku diputuskan untuk mengkhabarkan berita kebaikan dan bersifat pengajaran dan ketika ditentang hebat orang tua, generasi muda yang bersama aku.
"Namun kenyataan itu tidak bermakna bahawa tugas dakwah sepatutnya diletakkan atas bahu anak muda sahaja, sekali gus menafikan peranan golongan lama tetapi semua pihak yang bergelar mukmin wajib memainkan peranan dakwah di muka bumi ini," ujar Asyraf Wajidi.
Pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dalam perbankan dan kewangan Islam itu berkata, anak muda tidak perlu hanya menumpukan untuk mengambil bahagian dalam badan agama sahaja tetapi mereka wajar terlibat dalam pelbagai bidang profesional.
Tambah beliau, cumanya kesempatan anak muda seperti beliau yang perlu diambil ialah menjanakan dakwah dengan semangat baharu dan pendekatan dinamik mengikut peredaran masa memandangkan zaman kini sudah berubah lebih-lebih lagi menerima tempias kepesatan Internet.
"Rasulullah pernah menyebut apabila hendak berbicara dengan manusia, kita harus lihat pemikirannya.
"Jika kita berbicara dengan bahasa tidak difahami oleh orang muda, sudah tentunya akhirnya dakwah itu bersifat dogmatik, jumud dan tidak berkembang," kata Asyraf Wajidi.
Visi dan misi
Berdasarkan pengalaman dalam bidang dakwah sejak zaman mahasiswa lagi sehinggalah menjadi tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi, Asyraf Wajidi berkata kelebihan itu telah memberi sedikit pengetahuan terhadapnya untuk melaksanakan agenda dakwah Islamiah kepada pelbagai golongan.
Ujar beliau, hal berkenaan termasuklah terhadap masyarakat bukan beragama Islam dan tugas ini harus melalui usaha dengan menampilkan agama itu dalam kerangka positif dan dinamik kepada mereka menerusi bentuk perilaku umatnya sendiri.
"Kalau disingkap sejarah Islam, tidak tercatat berbondong-bondong masuk Islam kerana lisan tetapi mereka melihat keperibadian umat Islam sendiri.
"Perkara ini saya dan Yadim cuba tekankan agar dapat membentuk umat Islam negara ini untuk menjadi duta Islam atau contoh ikutkan kepada masyarakat lain bagi memudahkan mereka untuk mendekati ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW," kata Asyraf Wajidi.
Selain itu, Asyraf Wajidi berkata, perkara utama selepas memegang amanah Yang Dipertua Yadim ialah melakukan penstrukturan semula badan itu dengan menilai kembali setiap peranan 350 warga kerja institusi tersebut.
Dengan mendapat sokongan dan persetujuan ahli pemegang amanah Yadim, ujar beliau tujuan penstrukturan itu supaya setiap warga memainkan peranan secara aktif dalam setiap program yang dianjurkan.
"Harapan kita ialah setiap perancangan dan program Yadim hendaklah berorientasikan impak dan natijah kepada masyarakat selain berdasarkan objektif serta matlamat.
Program yang hanya sekadar memenuhi jadual semata-mata, akan dijauhi," tegas anak kepada Datuk Dusuki Ahmad yang juga pernah menjadi Yang Dipertua Yadim sebelum ini.
Malah menurut Asyraf Wajidi, beliau akan mengembalikan semula program-program yang sinonim dengan Yadim seperti Bulan Dakwah dan Ibu Mithali menerusi pendekatan terbaharu.
"Kita akan mengarusperdanakan program-program dakwah kepada masyarakat dan insya-Allah hal ini diyakini dapat memberi kesan positif kepada seluruh rakyat Malaysia," kata beliau.
Rangka kerja dakwah
Menyedari peranan Yadim untuk melaksanakan agenda dakwah di Malaysia seperti mana termaktub dalam perlembagaan badan itu, Asyraf Wajidi berkata bahawa beliau akan menyusun agenda dakwah Islamiah dengan lebih berkesan dan sistematik.
Jelas beliau, hal demikian dilaksanakan menerusi peranan Yadim menjadi koordinator dakwah tanah air dengan mengajak badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan individu untuk bersama-sama untuk menyusun strategik.
"Kita tahu setiap pihak mempunyai agenda dan perancangan tersendiri, terdapat yang fokus dengan isu akidah, bukan Islam, motivasi, kesenian dan sebagainya. Jadi mereka harus digembleng atau digerakkan mereka secara bersama.
"Melalui tindakan ini, kerjasama itu akan menjadi impak positif lalu menyebabkan agenda dakwah dirasai dan lebih bermakna," kata beliau.
Dalam pada itu, Asyraf Wajidi berkata Yadim akan meletakkan Islam lebih tinggi daripada segalanya dengan menolak agenda politik dalam agenda dakwah Islamiah di negara ini.
"Atas asas tersebut, kita mahu berkerjasama dengan semua pihak termasuk berlainan parti untuk tangani isu Islam secara bersama," ujar beliau.
Sebelum mengakhiri temuramah, Asyraf Wajidi berkata bahawa pihaknya akan melakukan kajian untuk menilai kembali program dan dasar Islam yang pernah dijalankan.
Tambah beliau, hasil daripada semakan itu, Yadim akan melakukan rangka kerja untuk agenda dakwah tanah air dengan di mana setiap program penganjuran akan memberi impak dan bukan sekadar bersifat acara sahaja...