Jumaat, 6 September 2013

Kisah Nabi Musa Dengan Ahli Ibadah dan Pencuri

Di zaman Nabi Musa AS ada seorang hamba Allah yang kerjanya hanya mencuri. Sudah 40 tahun dia mencuri.
Pada suatu hari, dia terlihat Nabi Musa AS sedang berjalan. Terlintas di hatinya untuk berjalan bersama Nabi Musa. Katanya, “Kalau aku dapat berjalan bersama Nabi Musa, mudah-mudahan ada juga berkatnya untuk aku”.
Tetapi setelah difikirkannya semula, dia tidak jadi melaksanakan niatnya itu. Dia berkata, “Aku ni pencuri. Manalah aku layak pencuri seperti aku ini berjalan bersama dengan seorang nabi”. Sejurus kemudian, dia terlihat pula seorang abid berlari-lari anak mengejar Nabi Musa AS dari belakang. Lelaki itu adalah si abid yang telah beribadat secara istiqamah selamah 40 tahun dan dikenali oleh semua orang. Si pencuri berkata di dalam hatinya, “Baik aku berjalan bersama si abid ini, mudah-mudahan ada baiknya juga untuk aku”.
Lantas si pencuri menghampiri si abid dan meminta kebenaran untuk berjalan bersamanya. Apabila ternampak sahaja si pencuri, si abid terkejut dan terus merasa takut. Dia berkata di dalam hatinya, “Celaka aku kalau si pencuri berjalan bersamaku, takut nanti rosak segala amalan dan kebaikanku selama ini”.
Si abid terus berjalan laju supaya si pencuri tadi tidak dapat mengikutnya. Namun si pencuri tadi terus mengikut si abid kerana mahu tetap bersamanya. Akhirnya kedua-dua mereka sampai serentak kepada Nabi Musa AS. Nabi Musa AS terus berpaling dan bersabda kepada mereka berdua, “Aku baru sahaja dapat wahyu dari Allah Taala supaya memberitahu kamu berdua bahawa segala amalan kamu telah dimansuhkan oleh Allah.” Maka terkejutlah si abid dan si pencuri tadi.
Berbahagialah si pencuri kerana segala dosa mencuri selama 40 tahun telah diampunkan oleh Allah Taala. Tetapi malang dan berita duka bagi si abid kerana segala amalan dan ibadahnya selama 40 tahun ditolak dan tidak diterima oleh Allah SWT.
Rupa-rupanya si pencuri itu walau pun kerjanya mencuri, tetapi dia tidak suka akan perbuatannya itu. Dia mencuri kerana ditimpa kemiskinan dan memikul tanggungan yang banyak. Namun masyarakat ketika itu sungguh angkuh dan sombong. Manakala si kaya pula enggan membantu orang fakir dan miskin.
Oleh itu dia mencuri kerana terpaksa. Setiap kali dia mencuri, dia amat rasa bersalah dan berdosa. Jiwanya terseksa dan menderita. Selama 40 tahun dia menanggung rasa berdosa itu dan selama itulah juga jiwanya parah menanggung derita. Selama 40 tahun itu jugalah hatinya merintih sedih, meminta belas kasihan, memohon keampunan Allah dan mengharapkan kasih sayangNya.
Sebaliknya si abid pula, dia teramat yakin bahawa ibadahnya mampu menyelamatkannya. Dia malahan yakin ibadahnya akan dapat membeli syurga. Setiap kali dia beribadah, dia merasa dirinya bertambah baik, dan setiap kali dia beribadah dia merasakan dirinya bertambah mulia.
Selama 40 tahun di abid ini mendidik hatinya supaya merasa lebih baik dan lebih mulia hinggakan dia merasakan dirinya tidak layak bergaul dengan orang yang tidak sepertinya, yang dirasakan hina dan banyak dosa. Dia merasakan dia hanya layak berjalan bersama para Nabi.
Maha Suci Allah SWT yang mengetahui segala isi hati manusia, yang tidak melihat amalan zahir semat-mata tetapi apa yang terkandung di dalam hati manusia. Sesungguhnya Allah meilai hambaNya berdasarkan amalan yang benar-benar ikhlas, bukan amalan yang dilakukan sekadar untuk menunjuk-nunjuk dan untuk mendapat perhatian dan pujian manusia. Kepunyaan Allah lah tiap segala sesuatu. Syurga dan neraka itu, Allah jua yang Maha Menentukan.
Wallahu’alam
* Jangan besar diri kalau rasa diri tu berilmu…

BAHAYA SYIAH DI MALAYSIA


Perayaan-karbala-syiah-rafidhah
1. Sejarah Islam dipenuhi dengan permusuhan antara Sunni dengan Syiah. Kerapkali peperangan berlaku di antara mereka. Hari Jumaat ini kita baca dalam akhbar dan TV berkenaan dengan letupan bom yang membunuh dan mencedera beratus-ratus daripada pengikut kedua-dua mazhab ini semasa mereka sedang sembahyang Jumaat di masjid dan di lain-lain tempat di mana mereka berkumpul.
2. Melihat akan permusuhan dan bunuh-membunuh diantara Sunni dan Syiah, musuh-musuh Islam, Yahudi dan sekutu mereka amat gembira. Bagi mereka, samada Sunni atau Syiah, semuanya adalah orang Islam dan seteru mereka. Kerja mereka untuk melemah dan musnahkan Islam dan orang Islam sedang dibuat oleh orang Islam sendiri.
3. Permusuhan antara Sunni dan Syiah ini tidak berlaku di Malaysia kerana buat sekian lama semua orang Islam di Negara ini terdiri daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah, iaitu Sunni pengikut Imam Shafei. Mereka semua berpegang kepada ajaran Islam yang sama. Walaupun perbezaan politik memisahkan diantara orang Islam di Malaysia, tetapi ia tidak sampai kepada membunuh dan berperang.
4. Sekarang ini ajaran Syiah sedang dikembangkan di Malaysia. Jika Syiah bertapak di sini sudah tentu orang Islam Malaysia akan berpecah lagi. Jarak antara mereka yang terima ajaran Sunni dan Syiah akan semakin luas. Masing-masing akan adakan masjid berasingan dan bermacam lagi perbezaan.
5. Lambat laun permusuhan mereka akan meningkat sehingga mereka akan merusuh, membunuh dan berperang seperti yang berlaku di Iraq, Pakistan dan Syria.
6. Kesan daripada ini ialah Negara akan jadi tidak stabil dan tidak aman. Orang Islam di Negara ini akan ditimpa bala yang amat dahsyat. Mereka yang sudah pun lemah akan menjadi lebih lemah. Kerosakan yang teruk akan berlaku seperti yang kita lihat di Negara-negara di mana Sunni dan Syiah bermusuh...
7. Selama ini kita berpegang dan menganuti agama Islam tanpa banyak masalah. Kita tahu di Iran dan beberapa Negara Islam yang lain ada penganut agama Islam Syiah. Kita tidak ingin menimbulkan masalah bagi mereka dengan mencuba mengembangkan fahaman dan mazhab Sunni di kalangan mereka. Sebaliknya janganlah cuba membawa fahaman Syiah ke Malaysia yang aman kerana kita berpegang kepada satu mazhab yang sama.
8. Kepada kamu agama kamu, kepada kami agama kami (Lakum dinukum waliyyadin). Al Quran menerima adanya orang yang beriman dan ada yang kafir. Tidak ada paksaan dalam Islam. Mereka yang kafir bebas dengan kekafiran mereka dan mereka yang Islam juga bebas menganuti dan mengamal ajaran Islam. Dengan itu permusuhan tidak akan berlaku dan masyarakat menjadi aman.

Rabu, 4 September 2013

Hikmah bersabar raih haji mabrur

Amat mendukacitakan apabila ada sebahagian umat Islam yang sengaja melambat-lambatkan pemergian mereka ke Tanah Suci dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah, kononnya belum sampai seruan lagi, kesibukan kerja seharian atau bimbang hendak tinggalkan anak. 

Walaupun semua alasan dikemukakan adalah punca yang akan mendatangkan keuntungan yang besar di dunia ini, namun perlulah diinsafi bahawa keuntungan itu amat kecil jika dibandingkan dengan ganjaran pahala berlipat ganda diperoleh seorang Muslim melalui ibadat haji yang mabrur. 

Rasulullah SAW bersabda: “Haji yang mabrur itu tidak ganjarannya melainkan syurga penuh kenikmatan.” (Riwayat Bukhari) 


Sabda Baginda lagi: “Sesiapa yang menunaikan ibadat haji, tidak melakukan persetubuhan dan perkara-perkara yang fasik, nescaya dia akan kembali suci bersih daripada dosanya seperti pada hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Selain itu, terdapat juga kebimbangan sebahagian umat Islam terhadap pelbagai kesusahan dan kesulitan yang akan dihadapi ketika berada di Tanah Suci, terutama apabila kedengaran rungutan dan aduan daripada jemaah haji yang sudah selesai menunaikan ibadat haji. 

Maka, mereka begitu terpengaruh dengan cerita itu hingga membantutkan azam menjejakkan kaki ke Tanah Suci. 

Perlu ditegaskan bahawa ibadat haji menyingkap pelbagai hikmah pengajaran dan falsafah yang wajib difahami serta dihayati setiap Muslim bertakwa. 
Bersedia hadapi dugaan 

Oleh itu, setiap Muslim seharusnya memahami dan bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan atau dugaan yang akan menimpa dari mula mendaftar di Lembaga Tabung Haji, menghadiri kursus bersiri haji, menjalani pemeriksaan kesihatan, dalam perjalanan haji hingga sampai ke Tanah Suci. 

Hal ini kerana sudah menjadi suatu kebiasaan dalam setiap perjalanan bahawa seseorang akan berhadapan pelbagai dugaan dan rintangan yang akan menguji kesabarannya. Sehubungan itu, Rasulullah bersabda: “Perjalanan atau pelayaran yang jauh itu adalah sebahagian daripada penderitaan.” (Riwayat Bukhari) 

Itulah sebahagian perkara yang perlu diingat selalu oleh setiap Muslim, bukan saja dalam bab haji, bahkan ia juga penting sebagai bekalan hidup seorang Muslim mendepani pelbagai ujian yang terhampar sepanjang perjalanan menuju keredaan Ilahi. 

Oleh itu, setiap Muslim perlu bersedia serta bersabar menghadapinya kerana semua itu mempunyai hikmah dan rahsia yang tersirat. Malah perlu diinsafi semua yang berlaku adalah kehendak Allah SWT sebagai ujian kepada hamba-Nya untuk memperoleh haji mabrur. 

Setiap Muslim yang beriman akan menerimanya dengan penuh sabar dan reda di samping berdoa ke hadrat Allah SWT supaya dilimpahi kekuatan, keampunan, keselamatan dan kejayaan dalam menjunjung titah dan perintah-Nya. 

Jalan menuju reda Illahi 

Barangkali inilah hikmah dan pengajaran yang cukup sinonim dengan ibadat haji iaitu kesabaran seseorang yang menunaikan ibadat haji dan ketenangannya menghadapi cabaran mendatang. Kesabaran itu sebenarnya hasil atau buah diperoleh daripada perjalanan kerohanian menuju keredaan Ilahi. 

Sehubungan itu, kesabaran seseorang akan menjadi neraca piawaian sama ada dia memperoleh haji yang mabrur atau sebaliknya. 

Akhirnya, ibadat haji sebagai satu ibadat yang ditegakkan atas landasan kesabaran, maka amatlah wajar bagi setiap jemaah haji membuat persiapan dan persediaan awal supaya tidak terjebak dalam perangkap sikap mudah marah, tidak sabar, maksiat dan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT...

Isteri solehah tonggak keluarga bahagia

Taat perintah agama, setia kepada suami jamin kerukunan mahligai dibina

Agama adalah faktor terpenting dalam mendapatkan kebahagiaan rumah tangga. Namun, tidak ramai umat manusia zaman ini yang meneliti dan mengambil faedah daripada panduan agama dalam memilih calon isteri. 

Namun, ramai yang masih tidak menyedari faktor pemilihan isteri berupaya memberikan kebahagiaan dan keuntungan dunia serta akhirat. 

Rasulullah SAW bersabda: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.” (Riwayat Ibn Hibban) 


Sabda Rasulullah SAW: “Dunia itu adalah kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia ialah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim) 

Menjaga harta suami, kehormatan diri 

Isteri yang solehah jika suami melihat kepadanya dia akan gembira, jika suami menyuruh sesuatu dia akan taat dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya serta memelihara kehormatan dirinya. 

Pada dasarnya kewajipan isteri solehah itu ialah taat kepada ajaran ajaran dan perintah Allah, rasul serta setia kepada suami. 
Firman Allah SWT bermaksud: “Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka.” (Surah an-Nisaa’, ayat 34) 

Isteri yang baik apabila berkata dengan suaminya dengan suara lemah lembut dan penuh sopan santun. Walau bagaimanapun, ketaatan isteri terhadap suami tidak dalam semua perkara, isteri dibenarkan membantah jika perintah suami boleh membawa dosa. 

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh mentaati makhluk dalam perkara menderhaka Allah SWT.” (Riwayat Ahmad) 

Kepatuhan isteri terhadap suami iaitu kepatuhan yang disuruh oleh agama kerana di samping bertanggungjawab memberikan nafkah zahir dan batin, suami juga bertanggungjawab membimbing isteri. Maka, isteri harus setia kepada suami yang soleh dan bersedia mengikuti segala perintahnya. 

Rasulullah SAW bersabda: “Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak lelaki ke atas wanita.” (Riwayat Abu Daud) 

Laksanakan kewajipan dengan baik 

Seterusnya, seorang isteri Muslimah diperintahkan oleh Allah SWT supaya sentiasa berada di rumah dan tidak dibolehkan pergi ke mana-mana sesuka hati tanpa izin suami. Duduk di rumah bukan bererti hanya berdiam diri, tetapi mengerjakan tugas sebagai isteri dan melaksanakan kewajipannya. 

Hikmah arahan Allah SWT ialah supaya isteri dapat menjaga dan mendidik anak secara lebih sempurna ketika suami mencari rezeki. Walaupun nampaknya pekerjaan itu mudah, tetapi ia sangat bermanfaat untuk menjamin keluarga tetap harmoni. 

Rasulullah SAW bersabda: “Tiap-tiap wanita atau isteri adalah pengurus terhadap rumah suaminya, dan dia akan ditanya (oleh Allah di hari kemudian) dan perkara urusannya itu.” (Riwayat Bukhari) 

Sifat tabii wanita ialah suka menghias diri. Namun, ada yang tidak faham dan akan berhias diri ketika hendak keluar rumah. Islam menganjurkan supaya isteri berhias hanya untuk suami supaya suami berasa terhibur. 

Jika suami pulang disambut oleh isteri dengan wajah berseri-seri serta pakaian yang bersih, maka ia akan menjadi penawar bagi suami hingga keletihan mencari rezeki hilang dan bertambah kasih sayangnya terhadap isteri. 

Rasulullah SAW bersabda: “Daripada Jabir, katanya: Kami pernah bersama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah SAW bersabda: Bersabarlah, masuklah ketika waktu malam iaitu pada waktu Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia berhias kerana telah lama ditinggalkan suaminya.” (Riwayat Muttafaqun alaihi) 

Berhias untuk suami 

Berhias bukan saja ketika menyambut suami pulang, tetapi hendaklah dilakukan ketika berada di dalam rumah. Wanita Islam hanya dibolehkan berhias untuk suaminya dan untuk dirinya sendiri. Ia dipandang sebagai punca keharmonian sesebuah rumah tangga. 

Bagi memastikan kerukunan rumah tangga, isteri yang solehah perlu menunaikan tanggungjawab dan menghormati suami. Pada masa sama, suami hendaklah membimbing isteri supaya keluarga dapat dipimpin ke arah mencapai keredaan Allah SWT... 

Ahad, 1 September 2013

Persoalan jenayah

Pada tahun 1960-an, malah lebih awal daripada itu, sesiapa yang buat kali pertama datang ke bandar-bandar besar khasnya di Kuala Lumpur, sering diingatkan supaya menjauhkan diri daripada kumpulan atau geng samseng. Ketika itu perkataan 'pau' sering disebut-sebut kerana jika anggota kumpulan samseng ini melihat muka baru, mereka akan peras ugut supaya membayar 'pau'.

‘Pau’ bermaksud bayaran yang dikenakan kepada individu tertentu bagi mengelakkan mereka diganggu oleh kumpulan samseng. Pau juga dikenakan kepada peniaga kedai, pengusaha restoran dan sesiapa juga yang mereka anggap memerlukan perlindungan. Bagi mangsa, mereka dikenakan pau setiap hari, minggu atau bulan. Disebabkan takut dan tidak mahu menimbulkan masalah, mereka membayar sejumlah wang kepada kumpulan ini mengikut persetujuan walaupun tahu tugas melindungi keselamatan adalah kerja pihak polis. Bagi yang enggan membayar pau, perniagaan atau urusan mereka sering diganggu. 

Kegiatan seperti itu masih wujud hingga ke hari ini. Kumpulan yang melakukan peras ugut itu diwarisi ahli-ahli mereka dan terus aktif hingga ke hari ini. Mereka adalah antara 49 kumpulan kongsi gelap dan samseng yang didedahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Khamis lalu. Kongsi gelap ini bergerak di bandar-bandar utama yang bermatlamat untuk mendapatkan wang dengan melakukan jenayah seperti peras ugut, menyamun, merompak, malah membunuh dan sebagainya. 


Hanya kerana wang

Kegiatan pinjaman tidak berlesen atau ah long mempunyai kaitan rapat dengan kumpulan kongsi gelap ini. Kumpulan ini juga bergerak di rumah pelacuran, pusat perjudian dan sindiket dadah. Kebanyakan mereka ini adalah individu yang keras dan kering hati dan tidak takut untuk melakukan jenayah. Sebahagian besar mereka pernah masuk penjara kerana melakukan pelbagai kegiatan jenayah daripada menyeluk saku hinggalah kepada menyamun dan merompak menggunakan senjata api. Mereka inilah juga kumpulan yang mengambil upah untuk melakukan jenayah berat untuk membunuh sesiapa juga. Mereka sanggup melakukan apa saja kerja kerana wang. Kumpulan yang dikenali dengan pelbagai nama, seperti diumumkan oleh KDN, mengawal kawasan atau zon mereka.

Jika ada kumpulan lain yang cuba menceroboh kawasan mereka, kumpulan itu akan menentangnya. Menceroboh kawasan bermaksud kumpulan lain melakukan kegiatan di tempat yang sudah dikuasai oleh sesebuah kumpulan lain. Jika keadaan ini berlaku akan menyebabkan pergaduhan sesama kumpulan dan berlaku pertumpahan darah. Pada awal 1960-an, ahli kumpulan samseng dan kongsi gelap ini mudah dikenali. 

Cara berpakaian, fesyen rambut mereka dan ciri-ciri samseng yang mereka paparkan, memudahkan mereka dikenali. Bagi filem Melayu, watak Sazali dalam cerita Anakku Sazali menunjukkan ciri-ciri kumpulan samseng di Singapura ketika itu. Di Kuala Lumpur, sekitar kawasan Jalan Chow Kit dianggap kawasan yang dikawal oleh kongsi gelap orang Melayu, Sentul orang India dan Pudu dan Kepong pula dikuasai orang Cina. 
Pada waktu itu, seseorang tidak boleh merenung atau memandang orang lain tanpa berkelip mata kerana perbuatan itu dianggap mencari padah. Untuk mengelak terjerat kepada kumpulan itu, seseorang perlu mengelakkan diri daripada mempunyai hubungan dengan mereka. Jika rapat dengan mereka, tidak dapat dielakkan akan mengikut ke mana saja mereka pergi secara rela atau paksaan. Buat permulaan, mereka akan dibawa ke kelab malam, ke bar dan sebagainya sebagai tarikan Apabila sudah ketagih, mereka perlu mencari wang dan akhirnya menganggotai kumpulan kongsi gelap ini. Terbukti, kumpulan kongsi gelap dan samseng ini bukan saja terus hidup tetapi menular hingga ke sekolah. Setiap kumpulan ada nama dan simbol masing-masing. Jika terserempak mereka memberi isyarat masing-masing. Mereka yang terjebak dalam kumpulan ini berpotensi menjadi penjenayah besar.

Tuntut tindakan tegas kerajaan

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini ada seramai 28,926 ahli kongsi gelap membabitkan kaum India, Cina (8,214), Melayu (1,923) dan selebihnya pelbagai kaum dan etnik di Sarawak dan Sabah yang menyumbang jumlah keseluruhan 40,313 ahli di seluruh negara. Daripada 49 kumpulan itu, 28 beroperasi di Semenanjung, 16 di Sarawak dan lima kumpulan lagi di Sabah yang menguasai sebahagian besar aktiviti jenayah di kawasan masing-masing. 

Daripada perangkaan diberikan ini menunjukkan PDRM mempunyai maklumat terperinci mengenai kumpulan dan kegiatan mereka. Apabila berlaku sesuatu kegiatan jenayah, polis sudah boleh mengesyaki kumpulan mana yang melakukannya. Polis mudah mendapat maklumat kerana sesiapa saja anggota kumpulan itu yang ditangkap akan diminta bekerjasama untuk memberi maklumat yang diperlukan. 
Isunya ialah walaupun kumpulan ini sudah dikenal pasti, mengapakah tindakan menghapuskan kegiatan mereka sukar dilakukan. Jawapan yang sering didengar ialah tiada keberanian daripada pihak berkuasa. Mereka tahu rumah pelacur, tetapi kegiatan itu terus beroperasi di tempat sama. Walaupun serbuan dan tangkapan dibuat, keesokannya perniagaan haram itu berjalan seperti biasa. Siapakah pula yang melindungi mereka? 

Kebelakangan ini terlalu banyak kegiatan jenayah yang berlaku menyebabkan tindakan drastik terpaksa dilakukan. Operasi Cantas yang dijalankan sekarang ini membuktikan sama ada pihak berkuasa serius atau tidak untuk menghapuskan kegiatan jenayah di negara ini. Persoalan sama ada masalah jenayah boleh dihapuskan daripada bumi negara hanya boleh dijawab jika pihak berkuasa serius mengenainya. 

Beberapa negara di dunia ini berjaya menjadikan negara mereka daripada kegiatan jenayah yang berleluasa meskipun satu ketika dulu kadar jenayah begitu tinggi. Diharapkan dengan tindakan tegas kerajaan, Malaysia akan menjadi sebuah lagi negara di dunia ini bebas daripada kegiatan jenayah secara berperingkat...

Bertawakal tanda kesempurnaan iman, tauhid

Tawakal kepada Allah SWT mampu mengangkat darjat hamba di tempat yang tertinggi di syurga seperti firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, jadi bertambahkan iman mereka, dan hanya kepada Tuhan merekalah, mereka bertawakal. Iaitu orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di syurga).” (Surah al-Anfal, ayat 2-4)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah apabila disebut nama Allah hati mereka merasa takut, apabila dibacakan ayat-ayat Allah ke atas mereka keimanan mereka semakin meningkat, sentiasa bertawakal kepada Allah, tekun menegakkan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang dianugerahkan Allah kepada mereka. Merekalah golongan yang benar-benar beriman, tersedia bagi mereka di sisi Allah pelbagai darjat, maghfirah (keampunan) dan ganjaran yang mulia (syurga).” (Surah al-Ankabut, ayat 58-59) 

Bertawakal kepada Allah adalah kewajipan atau tugas hati yang juga penyimpul keimanan. Tugas ini wajib ditunaikan kepada Allah SWT kerana kesempurnaan tauhid dan kesempurnaan iman tidak akan dicapai melainkan dengan kesempurnaan sifat tawakal terhadap Allah. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kepada Allah saja kamu berserah (bertawakal), jika benar kamu orang yang beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 23)

Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kepada Allah saja kamu berserah (bertawakal), jika benar kamu orang yang beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 23)

Menggantungkan harapan kepada Allah

Hamba yang benar-benar bertawakal kepada Allah tidak akan menggantungkan harapan dan tidak akan takut kepada selain Allah, ia tidak mencari sesuatu matlamat selain daripada keredaan Allah, tidak meminta ditunaikan hajat kecuali daripada-Nya, tidak menggantungkan keinginan kecuali kepada Allah, tidak memohon sesuatu kecuali kepada Allah.

Kita mesti menyedari kesempurnaan tawakal ialah melaksanakan segala amal usaha yang patut dijalankan tanpa menggantungkan harapan kepada usaha itu, dan hendaklah memutuskan tali temali hati dengannya. 
Sesiapa bertawakal kepada Allah, cukuplah baginya Allah dan Allah akan membimbingnya. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (Surah al-Talaq, ayat 3) ...

majlis hari raya kuala pilah