Isnin, 29 Julai 2013

MILIKI SIKAP PENYAYANG SEBAGAI PENDIDIK

Tugas seorang pendidik atau guru bukan setakat menyalurkan ilmu pengetahuan, mereka juga bertanggungjawab membina akhlak mulia kepada anak murid. Mengajar bidang apa sekalipun, aspek membina sahsiah peribadi seharusnya diletakkan sebagai teras kepada usaha pendidikan itu. 
Cabaran guru masa kini 

Guru yang penyayang dan penyabar akan menjadi seorang guru yang berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai sabar dan penyayang itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa hasil nikmat sabar itu sangat memberkati usaha gigihnya mendidik.

Dalam zaman serba moden dan mencabar, kerjaya sebagai guru juga penuh dengan cabaran hingga ada segelintir kecil guru yang tidak dapat mengawal emosi lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas etika.

Guru perlu sentiasa ingat bahawa mendidik murid memerlukan kesabaran dan nilai kasih sayang yang tinggi. Tanpa adanya dua sifat itu, guru pasti berhadapan dengan masalah. Sebagai mukmin, panduan ditunjukkan Rasulullah SAW boleh diamalkan semasa menjalankan tugas mendidik.

Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW yang mempamerkan perwatakan luhur pendidik. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, katanya: “Sedang kami berada di dalam masjid bersama-sama Rasulullah SAW, seorang Badwi telah datang dan duduk mencangkung membuang air kencing di dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti! Namun Rasulullah SAW berkata: Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri. Oleh demikian mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya, kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara-perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid ini adalah tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran. Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu membuang air kencing.”

Apa yang dapat kisah iktibarkan daripada kisah itu? Pertama, jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauhnya menghadapi sesuatu keadaan. 
Baginda menggunakan pendekatan menegur kesalahan seseorang secara berhemah dan lemah lembut dengan disertakan penjelasan terperinci mengenai kesalahan yang dilakukan. Inilah pendekatan sepatutnya diamalkan guru dalam proses pendidikan.

Rasulullah SAW bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mengajar perkara yang patut diketahuinya bukan dengan memarahi.

Kriteria guru unggul

Imam al-Ghazali menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru juga hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya. 

Guru yang penyayang dan penyabar akan menjadi seorang guru yang berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai sabar dan penyayang itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa hasil nikmat sabar itu sangat memberkati usaha gigihnya mendidik.

Diriwayatkan daripada Abu Musa, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara bumi itu terdapat sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Padahal Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran itu seperti orang yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk daripada Allah yang kerananya aku utusan-Nya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)...

Ahad, 28 Julai 2013

Budaya Tazkirah Ketika Shalat Tarawih

Alhamdulillah kita merafa’kan setinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dipertemukan pada malam ini menunaikan shalat tarawih iaitu shalat malam secara berjamaah, menghidupkan malam-malam pada malam Ramadhan. Moga-moga kita termasuk dalam golongan orang yang disebutkan oleh Nabi di dalam hadis,

من قام رمضان إيمانًا واحتسابًا غُفر له ما تقدم من ذنبه
Maksudnya: “Barangsiapa menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah SWT nescaya akan diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)
Pernah ditanya kepada Syaikh Ibn Shalih Al Utsaimin rahimahullah tentang hukum bertazkirah di antara shalat tarawih atau selepas shalat tarawih. Satu jawapan yang mungkin mengejutkan kita dan menarik untuk kita kongsikan pandangan seorang ahli ilmu. Ketika ditanya kepada Syaikh Al Utsaimin, kata beliau, menyampaikan ilmu di antara shalat malam bukanlah daripada petunjuk Nabi SAW. Beliau memberikan beberapa alasan; pertama, seperti mana yang sering beliau ucapkan apabila ditanya kepada beliau apa dalil yang menunjukkan bahawasanya sesuatu amalan itu tidak dilakukan oleh Nabi SAW, kata Syaikh Ibn Utsaimin,
الدليل هو عدم وجود الدليل
Ertinya: “Dalilnya ialah tidak wujud dalil.”
Kedua, beliau mengulas dengan lebih panjang lagi tentang isu dan permasalahan ini; iaitu sekiranya memerlukan kepada ingat mengingati sesama Muslim sebab asas agama kita ialah “agama adalah nasihat” maka tugas ingat mengingati ini sebenarnya tidak perlu dikhususkan kepada masa-masa dan tempat-tempat tertentu, sebaliknya apabila kita melihat kesilapan dan kesalahan, ataupun ingin menyampaikan nasihat kepada teman-teman dan sahabat kita, bila-bila masa dan bila-bila tempat kita boleh pilih tanpa menetapkan dan tanpa mengkhususkan ia.
Maka kata Syaikh Ibn Utsaimin rahimahullah, alangkah baiknya meninggalkan daripada berselalu melakukan amal perbuatan yang seperti ini. Itu pendapat Syaikh Ibn Utsaimin rahimahullah.
Adapun pendapat yang lebih tegas, pandangan Syaikh Muhammad Nashiruddin Al Albani menetapkan bahawasanya sesiapa yang menetapkan amalan bertazkirah ini antara shalat malam, ia merupakan amalan bid’ah, tidak ada dalil ataupun sandarannya daripada Nabi SAW.
Maka amalan-amalan seperti yang kita lakukan ini, sekadar kita ingat-mengingatkan sesama kita dalam kategori menghidupkan malam-malam di bulan Ramadhan Al Mubarak dengan amal perbuatan shalih, majlis ilmu dan sebagainya, tetapi kita tidak boleh bersifat mengkhususkan amalan ini. Cuma sekiranya ada keperluan kita menyampaikan sesuatu kepada teman-teman dan sahabat kita dalam erti kata merealisasikan hadis Nabi SAW,
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Ertinya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)
Sekiranya kita ada ucapan-ucapan yang baik untuk dikongsikan bersama dalam majlis ilmu, menyampaikan nasihat, teguran, kata-kata semangat kepada teman-teman kita yang tidak sudah-sudah berjuang melalui videonya, facebooknya, blognya, dan whatsapp-nya, maka saya kira nasihat-nasihat seperti ini perlu diteruskan dan disampaikan agar sesama kita setiap hari bermuhasabah moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang disebut oleh Nabi SAW di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak; larangan mengeluarkan perkataan-perkataan cercaan, makian seperti kata Nabi di dalam hadis,
فإذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرفث ولا يصخب فإن سابه أحد أو قاتله فليقل إني صائم
Ertinya: “Jika seseorang di antara kalian berpuasa, janganlah berkata jijik dan janganlah meninggikan suara (berkelahi), dan jika seseorang mencelanya atau mengajaknya bergaduh, maka katakanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (Muttafaqun ‘alaih)
Maka atas dasar itu kita memberikan dan berkongsi peringatan. Cuma apa yang saya hendak katakan tadi, tazkirah kita pada malam ini adalah berkaitan dengan nasihat ataupun fatwa Syaikh Muhammad ibn Shalih Al Utsaimin dan juga fatwa Syaikh Muhammad Nashiruddin Al Albani rahimahumallah agar kita tidak menjadikan amalan-amalan seperti ini sebagai satu amalan rutin walaupun sangka baik, kerana dibimbangi satu hari nanti datang anak cucu kita melihat amalan ini adalah amalan yang diteruskan dan dipraktikkan oleh nenek moyangnya dan mereka akan berdalilkan benda yang sama.
Sama seperti apabila kita menegur orang yang menetapkan bacaan-bacaan seperti “subhaanal malikil ma’bud, subhaanal malikil maujud” dan sebagainya. Kita menegur perbuatan itu dan mengatakan ini tidak ada daripada Nabi SAW, tetapi alasan dan hujah mereka ialah ini amalan dan praktik orang-orang yang terdahulu. Mungkin orang-orang dulu berfikir, daripada duduk tanpa berbuat apa, adalah lebih baik mereka rehat dengan ucapan-ucapan zikir, lebih baik daripada bersembang. Tetapi amalan ini apabila diteruskan tanpa ada teguran dan kajian maka manusia pada hari ini menjadikan praktik orang dulu sebagai dalil.
Jadi inilah yang kita bimbangi. Sama seperti kita membuat tazkirah di sela-sela tarawih atau sesudahnya dan amalan ini dilakukan secara berterusan, orang akan melihat amalan ini satu keperluan dan kemestian sehingga ke generasi puluhan tahun lagi, sehingga jika tidak dibuat tazkirah orang menganggap ianya satu kekurangan pada ibadah. Ini masalahnya jika mereka menjadikan kita sebagai dalil.
Sebab itu saya katakan di sini sebagai satu perkongsian dan nasihat agar amalan ini tidak dipraktikkan secara selalu. Moga-moga Allah memberikan kebaikan kepada kita semua dan menjauhkan kita daripada sebarang keburukan, dan menjadikan amalan kita sebagai amalan yang diterima. Jadilah kita pengejar Lailatul Qadar, malam yang ganjaran amalnya lebih besar daripada seribu bulan...
Wallahu-A’lam...

Sabtu, 27 Julai 2013

DIKIR ZIKIR - Aku Yang Berdosa ( UNIC )

http://youtu.be/wnInIgryd2U
“Mereka bertanya kepada engkau wahai Muhammad tentang roh. Hendaklah engkau katakan kepada mereka, ‘Roh itu adalah urusan daripada Tuhanku’…” (Al Israk: 85)
Allah SWT tidak meminta Rasulullah SAW bersusah payah untuk pergi memahamkan orang-orang kafir itu tentang hal roh ini. Lantaran itulah dikatakan roh itu urusan Allah. Ini bukan pula bermaksud umat Islam pun turut juga dilarang mengkaji tentang roh. Bahkan umat Islam mesti memahaminya sungguh-sungguh tentang perjalanan roh ini. Kalau tidak bagaimana pula hendak memperbaiki diri? Atau bagaimana hendak mengekalkan watak-watak kemanusiaannya dan bukan watak kebinatangannya...

Agama Yahudi

PERTUBUHAN MAJLIS AYAHANDA NEGERI SEMBILAN (M.A.N.S)



Saidatina Khadijah tenangkan Rasulullah ketika terima wahyu

Diriwayatkan daripada Aisyah, Harits bin Hisyam bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah! Bagaimana wahyu Allah SWT diturunkan kepadamu? Rasulullah SAW menjawab: “Kadang-kadang ia diturunkan seperti bunyi sebuah loceng. Daripada pelbagai cara wahyu diturunkan, cara inilah yang paling berat dan kemudian suara (loceng) itu menghilang selepas aku menerima wahyu itu. Kadang-kadang malaikat menemuiku dalam keadaan wujud seorang lelaki dan berbicara kepadaku dan aku mengingati apa yang ia katakan. Aisyah menambah: Ketika Nabi SAW sedang menerima wahyu pada suatu hari yang dingin aku melihat peluh berjatuhan dari dahinya hingga wahyu itu selesai diturunkan Allah SWT.” (Riwayat al-Bukahri) 

An Nawwas bin Sam’an meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Allah SWT hendak mewahyukan perintahnya, maka Dia firmankan wahyu itu dan langit-langit bergetar dengan kerasnya kerana takut kepada Allah, dan ketika malaikat mendengar firman itu mereka pengsan dan bersujud, dan di antara mereka yang pertama sekali bangun adalah Jibril, maka Allah sampaikan wahyu yang dikehendaki-Nya kepada Jibril melewati malaikat dan langit. Maka penghuninya bertanya kepadanya: Apa yang telah Allah firmankan kepadamu? Jibril menjawab: Dia firmankan yang benar, dan Dialah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar, dan seluruh malaikat yang ia lewati bertanya kepadanya seperti pertanyaan pertama, demikianlah sehingga Jibril menyampaikan wahyu itu sesuai dengan yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepadanya.” 

Wahyu pertama di Gua Hira 


Rasulullah SAW menerima wahyu pertamanya di Gua Hira’. Ketika itu Baginda berusia 40 tahun. Pertama kali menerima wahyu Baginda berasa sungguh takut dan gementar. 

Saidatina Khadijah yang menenangkan Baginda SAW dengan katanya: “Demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan dirimu selama-lamanya. Bergembira dan teguhkanlah hatimu. Sesungguhnya engkau seorang yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang (yang kurang bernasib baik), menghormati tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang tidak mampu, bercakap benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana. Kata-kata lemah lembut dan manis inilah yang membuatkan hati Baginda SAW tenang. 

Begitulah setiap kali menerima wahyu dalam pelbagai keadaan. Wahyu ini turun kepada Baginda SAW dari semasa ke semasa selama 23 tahun. Siri wahyu ini kemudian dikumpulkan dalam buku bernama al-Mushaf yang juga dinamakan al-Quran...

INTAI PELUANG RAIH KEAMPUNAN

Kita sudah berada pada fasa kedua Ramadan yang dijanjikan keampunan daripada Allah SWT. Jika fasa pertama kita dilihat oleh Allah SWT dengan pandangan rahmat-Nya, maka keampunan adalah jalan untuk mendapat syurga pada fasa terakhir nanti. 

Justeru, ini umpama bonus yang diumumkan kerajaan apabila menjelang hari raya. Sudah pasti kegembiraan akan terpancar di wajah semua warga kerja kerana ia tepat pada masa dan ketika. 

Begitulah Ramadan yang dijanjikan dengan pelbagai keistimewaan di mana penghujungnya adalah keselamatan daripada api neraka. Bagi orang berpuasa, mereka akan sentiasa mengintai peluang ini kerana yakin akan mendapat keampunan pada ketika ditentukan Allah SWT. 


Allah SWT tidak akan mensia-siakan segala usaha yang dilakukan sepanjang Ramadan. Apatah lagi kepada mereka yang sentiasa mengharapkan keampunan sepanjang bulan mulia. 

Berkata Hassan al-Basri: “Perbanyakkan istighfarmu di mana-mana. Di rumahmu, di hadapan hidanganmu ketika berbuka puasa, di sepanjang perjalananmu, di pasar, serta dalam majlismu dan di mana saja kamu berada. Sesungguhnya kamu tidak tahu bilakah datangnya saat keampunan itu.” 

Sentiasa mohon keampunan 

Menunjukkan saranan untuk kita sentiasa memohon keampunan Allah SWT mestilah berpanjangan serta yakin dengan janji Allah SWT kerana maklum balas inilah yang sangat disukai-Nya. 
Di samping memohon keampunan dan bertaubat, kita juga hendaklah mengingati al-Quran, kitab suci yang diturunkan pada Ramadan. Al-Quran akan menjadi fungsi utama dalam memberi syafaat kepada manusia ketika di alam barzakh dan hari kiamat nanti. 

Peristiwa nuzul al-Quran, turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW, seterusnya berperingkat menjadi lengkap seperti kitab al-Quran yang ada hari ini. 

Peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan tahun ke-41 selepas keputeraan Nabi Muhammad SAW. 

Penghayatan al-Quran 

Allah SWT tidak hanya menurunkan al-Quran semata-mata untuk diambil keberkatan oleh si mati atau sebagai perhiasan di dinding rumah, malah sebagai penghayatan untuk mereka yang masih hidup serta melaksanakan isi kandungan terdapat dalam al-Quran. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami turunkan al-Kitab dengan membawa kebenaran dan sebagai keputusan yang wajib dilaksanakan dalam kalangan manusia.” (Surah An-Nisa’, 105) 

Fungsi al-Quran sebenar akan dapat dilihat daripada maksud perkataan al-Quran itu sendiri di mana ia mestilah melalui bacaan dan pelaksanaan dalam kehidupan manusia. Bukan saja mereka yang hidup mendapat keberkatan daripadanya, malah mereka yang sudah meninggal juga akan dapat manfaat daripada al-Quran. 

Namun, pelaksanaan dalam kehidupan adalah lebih sukar berbanding keberkatan yang diperoleh si mati. Kebanyakan daripada pelaksanaan sistem al-Quran adalah bertentangan daripada sistem yang dicipta manusia. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apakah sistem ciptaan manusia itu lebih baik daripada apa yang diciptakan Allah? Jawapannya hanya ada kepada mereka yang yakin dengan agamanya.” (Surah al-Maidah, ayat 50) 

Bersempena bulan diturunkan al-Quran, manusia dituntut mendekati serta mempelajari isi kandungan yang terdapat dalam al-Quran. Di sana ada panduan yang sebenar untuk kebaikan manusia seluruhnya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada bulan Ramadan, al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia serta panduan untuk mencari kebenaran dan kebatilan.” (Surah Baqarah, ayat 185) 

Lebih khusus lagi, al-Quran diturunkan ialah pada malam Lailatulqadar seperti firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (lailatulqadar). Tahukah kamu apakah itu malam kemuliaan (Lailatulqadar) itu? Malam kemuliaan itu (Lailatulqadar) lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahtera (malam itu) sampai terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5) 

Kita dapat melihat orang beriman melipatgandakan usaha mendekati al-Quran. Inilah antara sifat dan keadaan salafus soleh (orang terdahulu) ketika berada di bulan Ramadan, mereka sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran bermula dari membaca, mempelajari dan menghayatinya. 

Menangis tatkala membaca atau mendengar bacaan al-Quran adalah satu kaedah untuk menghayati ayat-ayat Allah SWT dan melahirkan rasa takut kepada Allah SWT. Ancaman Allah SWT dengan seksaan neraka kepada mereka yang ingkar dan zalim akan menimbulkan rasa gerun, insaf dan takut terhadap azab Allah SWT. 

Mendendangkan al-Quran akan mendidik hati dan jiwa, bahkan jiwa mereka bergetar dan hati tersentuh mendengar untaian kalamullah dibacakan. Namun kelebihan memahami al-Quran hanyalah buat mereka yang mempelajarinya saja. 

Namun bagi mereka yang tiada pengetahuan berkaitan al-Quran hendaklah bertanya serta mempelajarinya. Oleh itu, pergunakanlah masa lapang Ramadan ini untuk meningkatkan bacaan al-Quran, banyakkan berzikir, beristighfar dan berselawat kepada Nabi SAW. 

Marilah bersama menghayati sejarah nuzul al-Quran dengan azam menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup, membacanya, memahami maknanya dan menghayati maksud yang terkandung di dalamnya semata-mata mencari keredaan Allah SWT...