Penghayatan hikmah setiap ibadah hanya boleh dilakukan melalui proses berfikir menggunakan akal serta sentiasa muhasabah diri sebagai seorang hamba Allah SWT. Justeru pelaksanaan seorang Muslim yang menunaikan ibadah bukanlah sekadar untuk mencukupkan syarat supaya dia bergelar orang Islam. Usaha untuk memahami falsafah ibadah seperti solat mempunyai manfaat yang besar kepada individu Muslim.
Peranan solat bukan saja membantu kita meningkatkan keyakinan kepada Allah SWT. Solat juga menerapkan nilai disiplin seperti menepati waktu, tertib dalam setiap pergerakan dan menjaga kebersihan. Nilai yang disebutkan ini apabila dihayati dalam kehidupan secara keseluruhan akan melahirkan insan yang cemerlang.
Utama bincang mengenai fadilat amalan
Malangnya, kebanyakan umat Islam hari ini lebih gemar menghabiskan masa bagi membincangkan fadilat sesuatu amalan hingga terabai memikirkan apakah iktibar yang akan diperoleh apabila ibadah itu diamalkan. Keadaan ini mewujudkan jurang antara kualiti dan kuantiti dalam ibadah. Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu jemu. Amalan paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan hadis di atas umat Islam perlu memberikan keutamaan kepada kualiti bukannya kuantiti sesuatu ibadah. Tidak salah untuk melakukan sesuatu amalan secara berdikit-dikit, tetapi konsisten berbanding melakukan banyak ibadah sekali gus, tetapi berkesudahan dengan perasaan bosan. Sekiranya kita tidak mampu melaksanakan pelbagai amal ibadah janganlah sampai kita tinggalkan terus amalan berkenaan. Sebagai contoh dalam ibadah qiamullail (bangun malam) kita boleh membiasakan diri dengan menunaikan solat sunat dua rakaat seperti tahajud terlebih dulu setiap malam. Selepas kita istiqamah bangun malam barulah kita tingkatkan ibadah qiamullail dengan memperbanyakkan solat sunat lain seperti solat tasbih.
Dalam menunaikan ibadah, perkara penting ialah keazaman yang tinggi serta tidak berputus asa mengharapkan rahmat Allah SWT. Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT supaya jiwa kita sentiasa optimis dan berasa ringan melaksanakan ketaatan. Oleh yang demikian sama-samalah kita amalkan doa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW bagi memudahkan jiwa dan fizikal kita dalam melakukan ibadah seperti yang diriwayatkan oleh An Nasa’i dan Ahmad: “Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu, serta agar dapat beribadah dengan baik kepada-Mu)”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan