Jumaat, 13 Disember 2013

Peringatan Kepada Golongan Pencaci Dan Pembuat Fitnah


Sedikit tazkirah ataupun peringatan kepada masyarakat Islam di zaman yang kita hidup; di saat kita hidup di zaman yang penuh dengan fitnah dan pancaroba ini. Kita lihat hari ini, tersebarnya fitnah yang begitu dasyat di kalangan kita. Ada orang yang menyebarkan tulisan-tulisan, membuat tuduhan kepada orang (secara) sembarangan. Ada orang yang menyebarkan melalui alat-alat media, melalui youtube, video, dalam TV, dalam radio. Kita kena ingat, bahawa jiwa seorang Muslim, seorang yang beriman kepada Allah swt itu, bukanlah jiwa yang dibiarkan begitu sahaja. (Jiwa orang Muslim itu adalah) jiwa yang mempunyai harga yang begitu mahal.
Darah kamu, harta kamu, kehormatan kamu, haram atas diri kamu. Hari ini kita lihat, kehormatan diri manusia telah menjadi mainan, (hanya) kerana perbezaan ideologi, perbezaan pandangan, samada pandangan politik, pandangan pemikiran mazhab, pandangan yang tidak serupa dengan kita sahajalah senang, terus akan dijatuhkan hukuman yang begitu dasyat. Bahkan sanggup mengatakan seseorang ini ahli neraka, orang ini ahli sesat, yang begitu mudah sekali kita lemparkan tuduhan-tuduhan. Kadang-kadang yang menjadi mangsa ini, bukan orang-orang yang biasa. Samada orang politik sesama mereka, itu kita anggap orang biasa. Tapi, tuduhan ini dilemparkan ke atas para pendakwah, bahkan orang yang boleh dianggap sebagai alim ulama', orang yang wara' (yang) kita lihat pada zahirnya, (kita) tuduh bermacam-macam, (kemudian tuduhan ini) disebar melalui video, melalui internet. Gambar-gambar yang telah diedit, (di)masuk(kan ke dalam internet).
Kamu kena ingat, Allah swt telah menyebut dalam Al-Quran Al-Karim dalam surah An-Nur ayat 15:
(Maksudnya: Ingatlah di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar.)
Ingatlah, ketika kamu menerima berita itu dari mulut ke mulut, kita dengar berita orang buat, kita tengok dalam youtube, orang ini jahat, scandal - tidak kira, skandal seks ke, skandal balak ke, skandal apa benda lah - ataupun pendakwah ini dituduh membawa ajaran sesat contohnya, kerana perkara-perkara yang tertentu, وَتَقُولُونَ بِأَفۡوَاهِكُم kamu juga kata dengan lidah kamu, dengan mulut kamu. Samada mulut kita yang kita bercakap ataupun tangan yang kita tulis tulisan kita. مَّا لَيۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمٌ۬ Sedangkan kamu tidak mempunyai ilmu, maklumat yang tepat tentang peristiwa yang ada itu, وَتَحۡسَبُونَهُ ۥ هَيِّنً۬ا kamu ingat main-main sahaja, suka-suka sahaja. Like dalam facebook, gelak-gelak, suka-suka sahaja, buat ceramah masuk kampung dan bandar mencerca orang (dan) sebagainya, وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ۬ perbuatan ini merupakan perbuatan yang sangat besar di sisi Allah azza wa jalla.
Nabi saw dalam hadis yang panjang, tentang yang menyebut tentang peristiwa muflis,
 (Maksudnya: Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?" Sahabat-sahabat Baginda menjawab: "Orang yang muflis di antara kami ya Rasulullah ialah orang yang tidak mempunyai wang dinar dan dirham (ringgit) dan tiada harta benda." Nabi s.a.w seterusnya bersabda: "Sebenarnya orang yang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa solat, puasa dan zakat, sedangkan datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang, dan menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan juga memukul orang; maka akan diambil daripada amalan kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu. Kemudian apabila habis amalan kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula daripada kesalahan-kesalahan orang yang dianiaya serta ditimpakan ke atasnya. Kemudian, ia dihumban ke dalam neraka.")
Nabi saw (ber)kata di antara sahabat, "Siapa di antara kamu orang muflis?" أتدرون من المفلس Nabi kata, "Kamu tahu apa itu muflis?" Sahabat kata "Muflis ini orang yang tiada harta, yang hutang banyak, duit untuk bayar takde, itu muflis". Nabi kata, إن المفلس من أمتي orang muflis dalam kalangan umat aku ini يأتي يوم القيامة mereka datang pada hari kiamat bawa amalan dia, solat ada, puasa ada, zakat ada, tapi, mulut dia juga telah maki orang perli orang telah ambil harta orang telah memukul orang, apa jadi (kepada orang sebegini)? Maka akan diambil kebajikannya diberi kepada orang yang difitnahnya tadi, orang yang dia zalim tadi. Kalau habis pahala orang tadi, akan diambil dosa dan dicampak ke atas kepala. ثم طرح في النار kemudian akan dicampak ke dalam neraka.
Ini pesanan oleh Nabi yang begitu besar kepada kita. Kerana itulah, saya memberi peringatan, (dan saya memberi) tazkirah ini kepada semua muslimin dan muslimat. Tidak kira apa jenis kita ini, blogger ke, baru-baru nak belajar menulis ke, ahli-ahli facebook ke, wartawan ke, pembaca berita tak kira tv apa, semua kamu ingat, apa yang kamu kata, apa yang kamu tulis, kamu ingat main-main, "saya cuma baca skrip", وَتَحۡسَبُونَهُ ۥ هَيِّنً۬ا kamu ingat benda itu main-main, وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ۬ tapi, ia besar di sisi Allah.
Kamu nak jadi orang muflis di akhirat? Dengan permainan-permainan alat-alat moden yang ada hari ini, duk reka cerita, ambil gambar orang, potong sana potong sini, akhir sekali keluar fitnah.
Kamu ingat orang (yang) kena fitnah ini boleh tidur malam? Kamu ingat orang (yang) kena fitnah berdiam diri begitu sahaja? لا (tidak)
Orang (yang kena) fitnah, orang yang kena zalim, doa orang yang kena zalim ini mustajab.
Allah swt sebut لأنصرنّك ولو بعد حين (ertinya) "Aku akan memberi pertolongan, walaupun selepas beberapa ketika". Hari ini kita lihat, tidak kira orang hidup ataupun orang mati, semua tak selamat. Orang mati pun tidak selamat. Apabila ada tokoh ulama mati, semua orang mengeluarkan kenyataan, statement yang begitu dasyat. Tulis macam-macam kepada orang ini.
Kita kena ingat, kita boleh keluarkan pandangan mereka yang bercanggah daripada kebenaran tapi jangan mencerca mereka.
Dalam hadis Nabi saw berkata, لا تسبوا الأموات (ertinya) jangan kamu maki orang yang telah mati, فإنهم قد أفضوا إلى ما قدموا (ertinya) mereka telah pergi bawa apa yang mereka bawa. (Hadis riwayat Bukhari daripada Aisyah)
Kalau dia bawa yang tak baik, dia berjumpalah dengan malaikat dalam kubur. Tak payah kamu yang jatuh hukum, biarkan mereka dengan amalan mereka. Kita tak payah jadi hakim, biarlah Allah azza wa jalla.
Banyak hadis-hadis nabi yang mengarahkan kepada kita supaya jaga lidah. Nabi kita sendiri saw kata,
("إن اللعانين لا يكونون شفعاء ولا شهداء يوم القيامة" Dikeluarkan oleh Imam Muslim.)
إن اللعانين orang yang suka melaknat orang, mencelaka orang لا يكونون شفعاء ولا شهداء يوم القيامة orang ini tidak boleh jadi saksi dan tidak boleh bagi syafaat pada hari kiamat.
Dan hadis lain lagi, Nabi saw berkata, ليس المؤمن بالطعان ولا اللعان ولا الفاحش ولا البذيء orang mukmin bukan suka membuat tuduhan kepada orang.
Hari ini, kita tengok penceramah-penceramah, masuk kampung-kampung dengan serban mereka, membuat tuduhan, maki orang, pagi sampai gelap, sekali-sekali boleh masuk dalam TV, buat cercaan kepada orang, subhanallahil 'azim. Kita boleh berbeza pandangan, kadang-kadang tuduhan yang dia tuduh bukan tuduhan yang besar. Benda yang masih dalam skop yang boleh berikhtilaf dalam kalangan ulama. Ulama-ulama besar boleh ikhtilaf dalam masalah ini, tapi, kita ulama kecil, kadang-kadang tidak ulama pun, tapi orang angkat sebagai ulama sebab boleh digunakan orang ini, maka kita bercakap lebih daripada para ulama. Mujtahidun pun tidak bercakap lebih daripada itu.
Nabi kata (seperti hadis di atas), (adalah) bukan mukmin orang yang الطعان (iaitu) orang yang suka membuat tuduhan, ولا اللعان bukan juga orang yang suka melaknat orang, ولا الفاحش orang yang suka bercakap keji, cakap kotor, apa lagi hari ini duduk menyebarkan kekotoran, tunjuk video lucah sana-sini, tulis dalam surat khabar, sampai budak-budak pun pening, dia kata, "Apa cerita orang Malaysia ini?" Itu fitnah yang berlaku. Itu hadis At-Tirmidzi, ولا البذيء orang bercakap yang tidak baik.
Dalam hadis lain, Nabi saw berkata,
لم يكن النبي صلى الله عليه وسلم سباباً ولا فحّاشاً ولا لعّاناً
Nabi sendiri bukanlah seorang yang suka melaknat, bukan orang yang suka memaki, mencerca orang, tidak (Nabi bukan begitu).
Jadi, kita belajarlah, banyak hadis yang mengatakan; dalam hadis Abu Daud mengatakan,
يا معشر المسلمين wahai orang beriman, ataupun dalam riwayat (lain) يا معشر من آمن بلسانه wahai orang beriman dengan lidah dia, tapi tidak masuk dalam hati dia. (يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يَدْخُلِ الْإِيمَانُ قَلْبَهُ)
لا تتبعوا عورات المسلمين jangan sekali-kali mencari keaiban orang. Sesiapa yang suka mencari keaiban orang, duk memburukkan orang, duk menjatuhkan orang, يَتَّبِعْ اللَّهُ عَوْرَتَهُ وَمَنْ يَتَّبِعِ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ Allah akan mendedahkan keaibannya walau dalam rumahnya sendiri.
Kita tengok hari ini macam mana, orang yang buat perbuatan-perbuatan seperti ini. Cuba kembali kepada sejarah. Kita lihat. Bila dia duduk sebelah ini, dia duduk kafirkan orang sebelah sini. Orang itu kafir, murtad, pergi ke jirat, hari ini dia duduk sebelah ini, dia kafirkan orang sebelah ini pula. Orang ini, mulut dia, kalau tak sebut kafir, tidak boleh duduk, boleh jadi tidak boleh makan puak-puak ini. Kita pula duk angkat, "Inilah tokoh pejuang, tokoh (lain-lain)" pejuang apa? Pejuang maki orang? Pejuang kutuk orang? Ini bukan pejuang, ini peruntuh agama. Duduk di mana-mana pun ghuluw. Nabi kata إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ, (lafaz penuh adalah إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ؛ فَإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِالْغُلُوِّ فِي الدِّينِ) "Aku beri peringatan kepada kamu, jangan melampau dalam agama. Binasanya orang dulu-dulu, kerana melampau dalam agama." kononnya nak membela Islam, tapi, kita meruntuhkan Islam dengan adab kita, dengan akhlak kita, dengan sikap kita.
Hari ini hendak mendakwa kalimah Allah swt, kononnya orang yang menyokong kalimah Allah swt ini kafir harbi, kafir harbi. Apakah kalimah Allah swt yang kamu hendak sokong? Sekadar tulisan? Kalau hendak sokong sungguh, ini perjuangan Islam.
من قاتل لتكون كلمة الله هي العليا فهو في سبيل الله
Nabi kata, sesiapa yang berjuang menegakkan kalimah Allah, untuk meninggikan agama Allah, فهو في سبيل الله inilah barulah orang (yang bersikap) pejuang. Kalau setakat tulisan, itu bukan pejuang namanya. Dengan adab-adab dan akhlak yang kamu tunjuk, ini bukan pejuang kalimah, tapi orang yang nak meruntuhkan agama, sebenarnya. (Hadis sahih Muslim)
Maka, berhati-hatilah. Mana-mana golongan yang melampau, melampau dalam membuat tuduhan kepada orang, samada mengkafirkan orang, menyesatkan orang, mengata itu mengata ini, semua ini kita perhatikan, tengok gelagat mereka, tengok tingkah laku mereka, apa perjuangan yang dia hendak sebenarnya.
Tidak kira, pejuang Melayu, pejuang Arab, sama sahaja. Nabi saw kata Nabi kita larang daripada perjuangan bangsa, Nabi sebut دعوها فإنها منتنة orang ini dikira orang yang busuk, orang yang menyeru kepada perkauman. (Hadis riwayat Bukhari)
Jadi, alhamdulillah, dalam Islam, banyak adab yang mengajar kepada kita. Yang pertama, jaga lidah. ما يلفظ من قول إلا لديه رقيب عتيد Tidak ada satu lafaz, tidak ada perkataan yang kita tulis, tidak ada tuduhan yang dibuat, semuanya ada rakib atid, ada malaikat yang menulis amalan dan semuanya akan dikira di hadapan Allah azza wa jalla. (Surah Qaf ayat 18)
Pernah seorang datang menemui syeikh Abdullah ibnu Al-Mubarak. Dia duduk (men)cerca seseorang di hadapan Syeikh Ibnu Al-Mubarak. Syeikh (Ibnu Al-Mubarak) itu pun (ber)kata, "Hei saudara, kamu pernah pergi berperang melawan Rom?" Lelaki ini kata "Tidak". (Syeikh Ibnu Al-Mubarak kata), "kamu pernah pergi berperang melawan Parsi?" Dia kata "Tidak". Syeikh Ibnu Al-Mubarak kata, "Subhanallah, orang kafir (iaitu) Rom dan Parsi selamat daripada kamu, tapi saudara kamu orang Islam tidak selamat daripada kamu."
Hati-hatilah kita para jemaah, daripada menjadi orang yang tidak selamat (seperti yang disebut dalam hadis) المسلم من سلم الناس من لسانه ويده. (Maksudnya:) Orang Islam itu, (adalah) orang yang orang Islam lain selamat daripada lisannya dan tangannya. (Petikan hadis riwayat Ahmad, disahihkan oleh Syeikh Arnaut) Kalau kita menjadi orang Islam yang mencerca, memaki orang, maka kita belum lagi benar-benar seorang Islam.
Semoga tazkirah saya ini, memberi kesedaran kepada diri saya sendiri, supaya bersikap adil dalam menangani masalah dalam umat ini. Dan para pendengar bersikap adillah kita dalam membuat penilaian. Jangan melampau dalam perkara ini, kerana binasa umat dahulu kerana melampau, dan binasa umat ini juga kerana melampau. Janganlah kita mendedahkan keaiban orang , janganlah sampai Allah mendedahkan keaiban kita walaupun dalam rumahnya..
.

Tasawwuf & Tariqat

Tasawwuf & Tariqat

by amri el wahab
sufism_and_tasawwuf_by_essani666-d464bu6
Ada Yang Tidak Senang Kepada Tasawwuf Dan Tareqat. Kedua-Duanya Dibenci Terus. Seboleh-Bolehnya Hendak Dikuburkan, Dihilangkan Dari Hati Umat Islam. Memang Ada Tareqat Yang Tersasar Dari Landasan (Melanggar Panduan Al-Quran Dan As-Sunnah), Namun Ada Tareqat Yang Muktabar Dan Diiktiraf Oleh Alim Ulamak.
 Kepada Mereka Yang Memusuhi Tasawwuf, Amat Sukar Sekali Untuk Menghapuskannya Dari Umat Islam. Kerana Sebagaimana Yang Dijelaskan Oleh Habib Ali Al Jufri - Walaupun Ada Yang Mempergunakan Kalam Ibnu Taimiyyah Untuk Mengecam Ahli Sufi, Beliau Tetap Memuji Tasawwuf Dan Merasa Terhormat Dirinya Memiliki Hubungan Sanad Dengan Imam Abdul Qadir Al Jailani.
Ibnu Qayyim Yang Sering Dijadikan Peluru Untuk Menembak Ahli Sufi, Malah Menulis Tiga Jilid Kitab Tentang Tasawwuf Iaitu Madarij Al-Salikin Fi Syarh Manazil Sa'irin. Imam Ahmad Bin Hanbal Menulis Kitab Al-Zuhd. Imam Hafiz Az-Zahabi Menulis Siyar A'lam An-Nubala' Yang Bukan Hanya Mendedahkan Biografi Imam Hadith Tetapi Juga Para Imam Besar Tasawwuf Contohnya Ma'ruf Al-Karkhi Begitu Juga Kitab Sifat As-Sofwah Karya Imam Ibn Al-Jauzi.
Begitulah Keadaan Para Ulama Hadith Yang Bergelar Al-Hafiz Yang Kadang-Kadang Mereka Tuduh Benar, Kadang-Kadang Salah. Bahkan Ketika Bersangkutan Dengan Aqidah, Mereka Katakan Para Ulamak Salafussoleh Itu Salah Semuanya.
Jadi Menurut Mereka, Aqidah Ibnu Al-Jauzi Itu Salah. Aqidah Imam An-Nawawi Itu Salah, Kerana Ia Menulis Sejarah Hidup Guru-Gurunya Yang Meriwayatkan Hadith Sampai Kepada Imam Muslim Dan Menyebut Mereka Sebagai Sufi. Aqidah Imam Az-Zahabi Salah. Aqidah Imam Al-Suyuthi Salah. Demikian Pula Aqidah Imam As-Subki, Imam As-Sakhawi, Imam Ibn Hajar Serta Imam Mazhab Yang Merujuk Kepada Kaum Sufi Dan Memegang Ucapan-Ucapan Mereka Untuk Melembutkan Hati.
Jika Mereka Menuduh Kaum Sufi Itu Syirik Dan Sesat, Bererti Mereka Tidak Percaya Kepada Al Quran Dan Hadith Yang Ada Sekarang. Kenapa ?
Kerana Seluruh Sanad Dan Rantaian Riwayat Al-Quran Dan Hadith Yang Sampai Kepada Kita Sekarang Penuh Dengan Ahli Sufi. Setiap Periwayatan Bacaan Al-Quran Yang Tujuh (Qira'ah Sab'ah) Atau Yang Sepuluh (Qira'ah 'Asyarah) Pasti Di Dalamnya Ditemukan Imam Sufi.
Sesiapa Yang Boleh Menyemak Sohih Bukhari Dan Sohih Muslim Serta Kitab-Kitab Hadith Yang Lainnya Tanpa Melalui Perawi Yang Bukan Sufi ? Jika Ada Yang Mengatakan (Ahli Sufi) Itu Musyrik, Mereka Kafir, Dan Kita Diam Sahaja. Ini Ertinya Bencana Akan Mengancam Generasi Setelah Kita. Yang Mereka Tahu Tentang Para Sufi Kemudiannya Adalah Bahawa Mereka Kafir Dan Sesat.
Sekarang Ini, Kita Seperti Malas Bertindak. Padahal Di Luar Sana, Melalui Khutbah, Kaset, Dan Buku-Buku Berbagai Kebohongan Telah Dihembuskan Sekelompok Orang Yang Tidak Menjaga Ketaqwaan Kepada Allah Ketika Berbicara Tentang Orang-Orang Soleh. Berbagai Tuduhan-Tuduhan Serong Diarahkan Kepada Kaum Sufi.
Jika Ini Dibiarkan, Tentu Generasi Setelah Kita Akan Berkesimpulan Bahawa Hadith Dan Al-Quran Yang Mereka Terima Tidak Dapat Dipercayai Kerana Diriwayatkan Kaum Sufi Yang Mereka Ketahui Kafir Dan Sesat...

Selasa, 10 Disember 2013

PERLANTIKAN PEMIMPIN MENGIKUT PANDANGAN ISLAM

DARIPADA Abu Musa r.a katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi SAW. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah.

Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu Baginda bersabda : “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya.”

Hadis di atas menjelaskan satu kaedah yang penting dalam pelantikan sesuatu jawatan kepimpinan atau kuasa tidak boleh diberikan kuasa atau jawatan daripada yang memintanya atau tamakkan kuasa.

Ini kerana jawatan dalam Islam adalah amanah dan ia diterima dengan tanggungjawab serta perasaan takutkan ALLAH SWT, sedangkan mereka yang meminta atau tamakkannya adalah tanda golongan yang berasa besarnya tanggungjawab di hadapan ALLAH.

Oleh itu menjadi tanggungjawab ke atas sesiapa yang mempunyai kuasa menentu dan memilih untuk tidak memilih mereka yang tamak akan kuasa.

Al-Qadhi al-Baidawi dalam menghuraikan persoalan meminta jawatan kepimpinan berkata: “Tidak sewajarnya bagi yang berakal bergembira dengan suatu kelazatan yang akan diikuti dengan penyesalan.”

Berkata al-Muhallab pula: Keinginan untuk memperoleh kuasa adalah sebab berlaku peperangan di kalangan manusia kerananya sehingga ditumpahkan darah, dicemari harta dan maruah.

Dengan demikian, Islam menghalang jawatan daripada jatuh ke tangan mereka yang tamak kuasa dengan membuat kaedah sesiapa yang meminta maka ia tidak dilantik.

Ini dapat menyelamatkan dua perkara bahaya: Amanah kepimpinan jatuh ke tangan mereka yang tidak takut akan ALLAH dan tidak memahami bahawa kepimpinan akan dipersoalkan di akhirat. Juga berlakunya perebutan kuasa di kalangan umat yang akhirnya membawa kehancuran.

Persoalan kepimpinan dalam Islam bukan sahaja melibatkan perkara kepakaran tetapi juga membabitkan persoalan keberkatan dan pertolongan ALLAH yang bakal turun kepada kepimpinan yang beriman dan bertakwa.

Dalam hadis lain, yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Baginda SAW menasihati sahabatnya Abdul Rahman bin Samurah yang bermaksud: “Wahai Abdul Rahman, jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitab Fathul al-Bari menyatakan: “Maksud hadis di atas ialah sesiapa yang meminta jawatan pemimpin lalu diberikan kepadanya, maka dia tidak diberikan bantuan disebabkan keinginannya.”

Katanya lagi: “Sesiapa yang tidak mendapat bantuan daripada ALLAH terhadap pekerjaannya, maka dia tidak akan mempunyai kemampuan melaksanakan pekerjaan tersebut. Oleh itu maka tidak sewajarnya diterima permintaannya (untuk menjadi pemimpin).

Dengan lain kata, sesiapa yang meminta jawatan, maka ALLAH tidak akan menolongnya jika dia memerintah atau berkuasa. Sesiapa yang tidak ditolong ALLAH tentu dia gagal melaksanakan amanah seperti yang dikehendaki ALLAH, sama ada yang kecil ataupun besar dan dalam apa jua urusan sekalipun.

Orang telah dipastikan dia tidak dibantu ALLAH adalah nyata kegagalannya dari awal lagi, maka wajar dia dihalang dari diberikan jawatan berkenaan. Namun ini bukanlah bererti mustahil untuk dia melakukan kebaikan dan keadilan pada orang di bawahnya.

Ada pemimpin yang bukan Islam tetapi dapat melakukan kebaikan dan keadilan. Ini adalah hasil daripada usahanya bersama dengan keizinan ALLAH. Namun pertolongan ALLAH dengan keberkatan dan rahmat-Nya tidak akan diperoleh jika seseorang tamak akan kuasa.

Dari dimensi yang lain, mereka yang menuntut jawatan sebenarnya telah meletak keistimewaan atau kelayakan pada diri sendiri. Ini adalah lambang keegoan, sedangkan ALLAH telah berfirman yang bermaksud: “Jangan kamu menyatakan diri kamu suci.” (An-Najm : 32).

Meminta jawatan adalah suatu bentuk menuntut diiktiraf kelebihan di hadapan orang lain. Sedangkan Islam mahu supaya jawatan dipikul oleh mereka yang dibantu dirinya dengan tanggungjawab, kesedaran dan penuh rendah diri di hadapan ALLAH dan memahami benar-benar ia merupakan amanah dan beban yang berat, bukan tempat kemegahan...

ZAKAT BUKAN UNTUK FAKIR, MISKIN SAJE

Dalam Islam, hamba hendaklah dilayani dengan santun dan kebajikannya dipelihara oleh tuannya. Mereka memang tiada harta, tetapi kebajikan mereka terjaga, justeru mereka adalah milik tuannya yang kaya. Hamba ini hanya diberikan zakat apabila tuannya menawarkan pembebasan kepadanya. 


Tegah ambil harta dari asnaf miskin

Lima lagi asnaf zakat iaitu amil, mualaf, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil, tidaklah disyaratkan miskin ke atas mereka. Walaupun begitu, pastilah dalam tatacara pengagihan zakat, hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin, justeru mereka inilah yang paling layak diraikan dalam agihan zakat sesuai dengan saranan dianjurkan Rasulullah SAW.

Mungkin ada yang berhujah, bukankah ulama fikah menegah zakat diberikan kepada orang kaya. Dalilnya, iaitu saat Nabi Muhammad SAW mengutuskan Muadz bin Jabal ke Yaman, maka Nabi berpesan: Zakat itu hendaklah dikutip daripada orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin dalam kalangan mereka. (Riwayat Bukhari)

Namun, kita mesti melihatnya secara objektif dan jelas. Fuqaha, Dr Abdullah Nashih Ulwan menyatakan, orang kaya itu ditegah daripada mendapat agihan zakat, namun, apa yang dimaksudkan dengan tegahan itu ialah jika diambil harta zakat itu daripada bahagian (asnaf) fakir dan miskin lalu diberikan kepada orang kaya. Jika diambil daripada asnaf lain seperti asnaf fisabilillah, maka tidaklah disyaratkan penerimanya seorang yang miskin. 
Sehubungan itu, amalan zakat di Malaysia, khususnya di Lembaga Zakat Selangor (LZS), setiap orang Islam boleh mendapat bantuan zakat walaupun mereka tidak miskin. Contohnya, untuk kes hutang rawatan dan membantu melanjutkan pendidikan. Mereka dibantu atas nama asnaf fisabilillah, asnaf gharimin (berhutang) atau asnaf lain yang sesuai, bukan atas sifat kemiskinannya. 

Mungkin ada pihak berhujah, Nabi SAW pernah menolak untuk memberikan zakat kepada orang kaya, seperti diriwayatkan dalam hadis: Tidak ada bahagian zakat bagi seorang yang kaya dan seorang kuat yang mampu berkerja, (Riwayat Abu Daud)

Bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW juga membuat pengecualian bahawa zakat masih boleh diberikan kepada orang kaya jika mereka memerlukan zakat, sesuai dengan keadaan diri mereka iaitu tidak sampai berlebih-lebihan serta mengabaikan hak fakir dan miskin. 

Ada yang bertanya adakah orang kaya boleh menerima zakat, sedangkan zakat diperuntukkan untuk orang miskin. Tidak dinafikan, itu adalah tanggapan umum yang mengaitkan zakat dengan fakir dan miskin.

Hakikatnya, daripada jumlah lapan asnaf zakat, hanya dua asnaf disyaratkan miskin, iaitu fakir dan miskin. Bagi hamba sahaya, mereka bukan miskin melainkan mereka asnaf istimewa, justeru diri mereka adalah milik tuannya. 


Dalil bolehkan golongan kaya terima zakat

Diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad, Nabi Muhammad SAW bersabda: Zakat tidak dihalalkan bagi orang kaya kecuali lima golongan iaitu amil; orang yang memberi zakat dengan hartanya sendiri (mualaf); orang yang ikut berperang di jalan Allah SWT; orang yang berhutang dan orang miskin yang menerima zakat daripada seorang kaya (dan) kemudian dia menghadiahkannya kembali kepada orang kaya itu.

Imam Syafie dan Hambali menyatakan, dalil di atas membolehkan lima golongan kaya ini menerima zakat demi kemaslahatan mereka. 

Amil, diberikan zakat sebagai imbuhan sesuai dengan usaha dan kerja keras mereka menguruskan zakat dan asnaf lainnya. Mualaf boleh mendapat zakat, bertujuan melunakkan hatinya supaya lebih mendekati Islam dan dengannya ia mampu menarik lebih ramai kepada Islam. 

Orang yang ikut berperang diberi zakat kerana itu adalah tugas mulia di jalan Allah SWT (fisabilillah) dan mereka tidak lagi sempat mencari rezeki. Ia dikiaskan kepada pencari ilmu, sehingga melayakkan mereka menerima zakat atas nama fisabilillah. 

Orang yang berhutang (gharimin) pula dibantu demi meringankan beban dan mengelakkan mereka menjadi fakir kerana hutangnya. Orang yang dipulangkan zakatnya sebagai hadiah, sudah pasti lebih berhak menikmatinya kerana namanya pun bukan lagi zakat, tetapi hadiah.

Kesimpulannya, golongan kaya masih boleh menerima bantuan zakat jika mereka termasuk dalam kategori diizinkan ini. Bagaimanapun, dalam konteks amalan semasa di Selangor, sudah pastilah golongan fakir dan miskin lebih diutamakan, manakala kesemua asnaf lain masih tertakluk kepada tatacara agihan zakat, sesuai dengan apa yang telah diputuskan Majlis Fatwa. 

Ahad, 8 Disember 2013

Percaya bomoh, tukang tilik boleh jejas akidah

Aisyah berkata, “Ada orang bertanya kepada Rasulullah berkenaan bomoh. Baginda menjawab: Mereka tidak mampu buat apa-apa pun. Sahabat Baginda berkata: Wahai utusan Allah, tetapi kadang-kadang mereka beritahu sesuatu kepada kami dan ia benar-benar berlaku. 

Rasulullah bersabda: Itulah perkataan benar yang dicuri oleh jin, dibisikkannya pada telinga bomoh itu, dan mereka menokok tambah dengan 100 dusta.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Diriwayatkan rekod Bukhari, Aisyah berkata, beliau mendengar Rasulullah bersabda: “Malaikat turun ke awan dan menyebut keputusan yang dibuat di langit. Syaitan mencuri dengar dan memberitahu kepada bomoh. Bomoh itu pun menipu dengan menokok tambah sendiri pula dengan 100 dusta.” 


Tegahan jumpa bomoh, tukang tilik 

Umat Islam ditegah berjumpa bomoh dan tukang tilik malangnya perbuatan itu masih dilakukan sesetengah masyarakat untuk mendapat rawatan khususnya yang dikaitkan dengan sihir atau ilmu ghaib. 

Adalah menyedihkan bagi umat Islam yang mengakui beriman kepada Allah SWT, mengakui kekuasaan-Nya, tetapi masih percaya kepada kemampuan manusia lain untuk mengetahui perkara yang tidak tercapai ilmunya oleh manusia. 

Lebih mendukacitakan, disebabkan mempercayai kata-kata bomoh dan tukang tilik, berlaku pergaduhan serta salah faham yang akhirnya menyebabkan terputus persaudaraan. Sedangkan sejauh mana kebenaran maklumat disampaikan tidak diketahui. 
Disebabkan itu, manusia perlu kembali kepada ajaran agama yang melarang menemui bomoh atau tukang tilik kerana mempercayai apa dikatakan boleh menjurus kepada syirik, menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. 

Safiyyah binti Abu Ubaid berkata daripada sebahagian isteri Nabi Muhammad, Baginda bersabda: “Sesiapa berjumpa dengan tukang tilik dan bertanya sesuatu kepadanya, kemudian percaya pula kepadanya, sembahyangnya tidak diterima selama 40 hari.” (Riwayat Muslim) 

Sudah tentu kita tidak mahu sembahyang yang dilaksanakan dengan niat kerana Allah SWT menjadi sia-sia. Hanya sekali berjumpa bomoh, sembahyang 40 hari tidak diterima. Ini satu kerugian besar dan umat Islam harus mengelak terjerumus dalam lembah kerugian.

HIJRAH ORANG BERIMAN

DUGAAN yang dihadapi oleh kaum Muslimin iaitu para sahabat Rasulullah SAW di Mekah ialah penyeksaan, maki hamun, celaan yang dilemparkan oleh kaum Musyrikin. Apabila mereka diberi keizinan berhijrah, maka satu dugaan lain pula yang melanda mereka iaitu dugaan meninggalkan tanah air, harta benda, rumah tangga dan alat-alat kelengkapan masing-masing.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia. Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka daripada golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Anfal: 74-75)
Ibnu Jarir berkata: Mereka kembali kepada Rasulullah SAW dan golongan Muhajirin lantas mereka menolong untuk agama Allah SWT.
Ibnu Sa’di berkata: Ayat-ayat terdahulu menunjukkan akad perjanjian dalam memberi walad antara orang yang beriman dalam kalangan Muhajirin dan Ansar.
Sayyid Quthub berkata: “Syarat hijrah terus terbuka sehingga negeri di Mekah dikuasai Islam, iaitu ketika bumi Arab itu tunduk kepada Islam dan kepimpinannya dan orang ramai bergabung di dalam masyarakatnya. Oleh sebab itu hijrah tidak ada lagi selepas negeri Mekah dibuka oleh Islam dan yang masih kekal ialah jihad dan beramal sebagaimana telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW.
Semuanya itu berlaku dalam pusingan pertama kemunculan Islam, di mana ia dapat memerintah dunia ini selama kira-kira 1200 tahun dan meneruskan perlaksanaan syariat Islam pada masa itu tanpa putus-putus dan menegakkan kepimpinan Islamiah di atas landasan syariat Allah dan kekuasaan-Nya.
Namun kini dunia telah kembali semula kepada jahiliah dan undang-undang Allah SWT telah berangkat daripada kehidupan manusia di bumi dan kuasa hakimiyah telah kembali kepada Taghut di seluruh dunia dan manusia mulai tunduk kepada ubudiyah terhadap sesama manusia setelah Islam menyelamatkan mereka daripadanya.
Kini Islam sedang memulakan satu pusingan yang baharu yang sama dengan pusingannya yang pertama, di mana ia mula mengaturkan peraturan-peraturan atau hukum-hukumnya yang berperingkat-peringkat sehingga kepada tahap menegakkan negara Islam dan hijrah. Kemudian naungan Islam terus mengembang dan meluas sekali dengan keizinan Allah SWT sehingga tidak ada lagi hijrah kecuali jihad dan beramal sebagaimana yang telah berlaku di dalam pusingan pertama.
Dalam menghadapi zaman pembinaan kewujudan Islam yang pertama, ia melaksanakan peraturan-peraturan dan tugas-tugas yang khusus dengan zaman itu, di mana kesetiaan kepada akidah menggantikan kesetiaan kepada darah keturunan dalam segala bentuk dan rupanya dan segala komitmen dan kehendak-kehendaknya termasuk saling mempusakai, saling bertakaful dalam bayaran diat dan denda-denda yang lain.
Kemudian apabila kewujudan Islam ditegakkan pada hari Furqan atau hari peperangan Badar, maka peraturan-peraturan khas yang telah diadakan di zaman luar biasa seiring dengan proses pembinaan yang pertama di antaranya ialah peraturan pusaka dan takaful dalam bayaran diat itu dikembalikan semula kepada kaum kerabat tetapi dalam lingkungan masyarakat Islam di negara Islam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20131206/ba_02/Hijrah-orang-beriman#ixzz2mw0kco1H
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tarik remaja cintai surau

TAK kenal maka tak cinta. Begitulah bidalan Melayu yang menggambarkan bahawa kita tidak akan menyukai sesuatu dan mendekati perkara tersebut jika tidak memahami atau mengenalinya.

Sebagai contoh apabila kita dilahirkan ke alam yang fana ini, kedua ibu bapa merupakan orang yang paling kita kenal dan sayangi maka hubungan tersebut kekal istiqamah hingga ke akhir hayat.

Begitu juga konsepnya untuk menggalakkan anak-anak yang masih hijau untuk menyintai surau malahan masjid dan tempat-tempat ibadah yang lain.
Anak-anak ini perlu diperkenalkan dengan surau seawal umur lima hingga enam tahun, sama ada untuk solat berjemaah mahupun majlis keagamaan.

Menyedari akan tanggungjawab untuk menjadikan generasi hari ini menyintai surau, pihak Jawatankuasa Surau Al-Ma’muriah Seri Pristana telah mengadakan program Daurah Remaja sempena penganjuran Karnival Surau Al-Ma’muriah, Seri Pristana, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Surau Al-Ma’muriah, Ismail Isak, 43, program Daurah Remaja Islam yang diadakan sempena karnival tersebut bertujuan mendekatkan golongan tersebut dengan aktiviti-aktivti keagamaan di surau sejak di bangku sekolah lagi.

"Sempena program Daurah Remaja Islam kita kumpulkan anak-anak kita hampir 80 orang untuk belajar tentang ilmu agama yang bermanfaat bagi diri mereka.

"Kesemua anak-anak ini kita kumpulkan bersama rakan-rakan sebaya mereka bagi belajar ilmu dalam suasana santai dan menggembirakan mereka," katanya.

Ismail berkata, sudah menjadi resmi manusia suka melakukan sesuatu dengan rakan-rakan daripada kelompok mereka dan pihak surau mengambil pendekatan menjadikan golongan remaja sebagai sasaran pada karnival tersebut.

Katanya, sepanjang program berlangsung remaja-remaja yang terlibat kelihatan gembira dan pensyarah jemputan juga berjaya mewujudkan interaksi dua hala yang mantap.

"Kita turut memberi sijil kepada peserta Daurah Remaja Islam sebagai galakan untuk mereka datang lagi ke surau untuk menuntut ilmu.

"Apa yang lebih penting bukan sijil tersebut tetapi sebagai wadah mendekatkan diri remaja dengan surau mahupun masjid sebagai tempat beriibadah dan menuntut ilmu sehingga ke akhir hayat mereka,"katanya.
Karnival tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Salehen Mukhyi.
Selain program daurah tersebut, pihak penganjur turut membuka gerai jualan, konsert artis nasyid dan program bual bicara bersama artis seperti Diana Amir yang dipengerusikan Ustaz Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20131206/ba_01/Tarik-remaja-cintai-surau#ixzz2mvzgK6Av
© Utusan Melayu (M) Bhd